PETALING JAYA: Seratus pelajar India yang memperoleh ijazah kelas satu di universiti awam akan diberi biasiswa penuh melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana dan doktor falsafah, demikian diumumkan Datuk Seri Najib Tun Razak pada Ahad.Perdana Menteri berkata ia sebagai memenuhi janji yang dibuat beliau di pelancaran pergerakan pelajar India 1Malaysia (1MISM) tahun lepas. "Pada tahun 2011, di pelancaran 1MISM saya mengumumkan lebih banyak peluang dana akan ditawarkan kepada mahasiswa India kelas satu di universiti-universiti awam untuk membolehkan mereka melanjutkan pengajian peringkat sarjana dan PhD di institusi pengajian tinggi awam."Hari ini kena pada masa pengambilan kursus pasca siswazah 2012, saya ingin mengumumkan bahawa kerajaan akan mempastikan 100 pelajar India cemerlang yang mendapat ijazah kelas satu diberi biasiswa yuran sepenuhnya," katanya di pelancaran Pusat Sri Murugan di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Vivekananda di sini.Sejajar dengan pengumuman itu, Najib berkata pelajar cemerlang berkenaan sekarang boleh melanjutkan pengajian pasca siswazah di universiti awam sekiranya mereka memutuskan untuk berbuat demikian.Dalam sidang medianya selepas itu, Perdana Menteri turut mengumumkan pembinaan baru Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) membabitkan dua blok bangunan empat tingkat di Taman PJS 1 di sini.Najib berkata sekolah baru itu yang dinamakan SJKT Tan Sri V Manikavasagam sebagai mengenang jasa bekas Presiden MIC kedua itu dalam memajukan masyarakat India."Pembinaan akan dilaksanakan tahun ini juga," katanya. - BERNAMA