suria

132 PATI Ditahan Di Tapak Pembinaan Di Kulim

KULIM: Jabatan Imigresen Kedah menahan seramai 132 pekerja asing atas pelbagai kesalahan dalam operasi 6P di sebuah tapak pembinaan di sebuah kawasan perindustrian di sini, Rabu.

Pengarahnya Mohamad Fitri Hassan berkata pekerja asing yang ditahan dalam operasi yang bermula pukul 12.30 tengah hari hingga 3 petang itu adalah 71 warga Bangladesh, 40 dari Indonesia, Myanmar (11 orang), Pakistan (6), Nepal (3) dan India (1).

Katanya, kesemua mereka berusia antara tiga hingga 48 tahun. "Dua kanak-kanak yang berumur tiga dan 4 tahun warga Indonesia adalah antara yang ditahan dalam operasi ini," katanya kepada pemberita di lokasi operasi di sini.

Mohamad Fitri berkata pekerja asing itu ditahan atas kesalahan tiada dokumen perjalanan yang sah, dokumen tamat tempoh dan tiada permit kerja yang sah.

Katanya kes ini disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Seksyen 15(4) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Beliau berkata kesemua pekerja asing itu akan dihantar ke Depoh Tahanan Sementara di Belantik, Sik untuk siasatan lanjut.

Mohamad Fitri berkata seramai 60 anggota dari Jabatan Imigresen Kedah dan Perlis serta Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) Kedah terlibat dalam operasi 6P itu. - BERNAMA

Artikel Lain