suria

Cuepacs Mahu JPA Segera Keluarkan Pekeliling Pelarasan Gaji

NILAI: Cuepacs menggesa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) supaya mengeluarkan pekeliling mengenai pelarasan gaji baru bagi kakitangan awam mengikut Skim Saraan Malaysia (SSM) selewat-lewatnya hujung bulan ini.

Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman berkata pekeliling itu perlu diedar segera kepada semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan bagi membolehkan pembayaran gaji baru dengan kenaikan antara tujuh dan 13 peratus dibuat kepada semua kakitangan awam mulai bulan hadapan.

"Perdana Menteri (Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak) sudah mengumumkan pelarasan gaji baru kakitangan awam iaitu kenaikan antara tujuh dan 13 peratus tapi kita sedang tunggu pekeliling itu untuk membolehkan setiap agensi membuat kiraan gaji untuk dibayar pada bulan berikutnya.

"Selagi pekeliling itu belum keluar semua agensi belum boleh buat kiraan gaji untuk membayar dan kita harap hujung bulan ini pekeliling itu mesti selesai," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan wacana bertajuk "Mentransformasikan Skim Perkhidmatan Institusi Pengajian Tinggi Awam" pada Program Sumbangsaran Intelektual Peringkat IPTA di sini, Jumaat.

Pada 8 Mac lepas , Najib mengumumkan pembatalan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan mengembalikan SSM yang ditambah baik dengan pelarasan gaji antara tujuh dan 13 peratus.

Omar berkata jika JPA lambat mengeluarkan pekeliling itu, ia akan menyukarkan jabatan dan agensi kerajaan membuat kiraan gaji baru selain perlu membayar tunggakan gaji yang lebih tinggi pada masa hadapan.

Mengenai penubuhan suruhanjaya bagi mengkaji secara komprehensif dan holistik perkhidmatan awam Malaysia yang turut diumumkan Perdana Menteri, Omar berkata ia perlu disegerakan memandangkan pihaknya sudah bersedia dengan kertas kerja dari 23 kesatuan sekerja yang bernaung di bawah Cuepacs.

"Kita sudah ada semua kertas kerja dan memorandum yang diberikan kepada kita dari 23 agensi termasuk tentera dan polis. Kita sedang menunggu penubuhan suruhanjaya itu sahaja, kita mahu tahu siapa pengerusinya dan kita mahu dalam bulan ini ia sudah terbentuk.

"Jadi kita minta pejabat Ketua Setiausaha Negara mempercepatkan penubuhan suruhanjaya tersebut sebelum 31 Mac ini sebab April depan kita mahu bersidang," katanya.

Omar berkata, Cuepacs berharap perbincangan bersama suruhanjaya itu dapat diselesaikan dalam tempoh tiga bulan dan satu skim baru dapat diperkenalkan bagi menggantikan SSM yang kini hanya bersifat sementara.

Program Sumbangsaran Intelektual IPTA tersebut dianjurkan oleh Majlis Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas IPTA dengan kerjasama Cuepacs bertujuan menambah baik sistem tadbir urus IPTA selain mengukuhkan jaringan kerjasama dalam kalangan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas IPTA.

Sebanyak 20 IPTA menghantar perwakilan persatuan dan kumpulan pegawai tadbir masing-masing pada program yang berlangsung di Universiti Sains Islam Malaysia di sini. Pada majlis itu Omar menerima memorandum daripada Majlis Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas IPTA yang mengandungi saranan dan penambahbaikan skim perkhidmatan Kumpulan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas seluruh IPTA. -BERNAMA

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan