KUALA LUMPUR: Sebanyak 439 kes pemerdagangan orang membabitkan 621 tangkapan telah disiasat oleh agensi-agensi penguatkuasa dari tahun 2008 sehingga Selasa, kata Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Mapo).Daripada jumlah itu, seramai 977 orang telah diselamatkan dan mendapat perintah perlindungan tetap dan ditempatkan di rumah-rumah perlindungan. "Jumlah itu merangkumi 260 orang lelaki, 595 wanita dan 122 kanak-kanak," kata kenyataan itu di sini, Rabu.Statistik itu telah dibentang pada Mesyuarat Mapo yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Tan Sri Mahmood Adam, Selasa.Kenyataan itu berkata statistik kes penyeludupan migran pula menunjukkan dari 15 Nov 2010 sehingga Selasa, sebanyak 31 kes telah dilapor membabitkan 47 tangkapan dan 655 migran diseludup.Sementara itu, mesyuarat pada Selasa juga memutuskan wakil dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia ditempatkan sementara di Jabatan Tenaga Kerja untuk tujuan bimbingan, latihan dan perkongsian ilmu khususnya dalam usaha meningkatkan penguatkuasaan Akta Mapo.Menurut kenyataan itu, Jabatan Audit Negara pula akan melaksanakan pengauditan ke atas program yang dilaksanakan di bawah Mapo bagi mengenalpasti keberkesanan dan penambahbaikan yang sesuai berkaitan pemerdagangan orang dan penyeludupan migran.Selain itu, satu pameran dan dan forum berkaitan pemerdagangan orang dan penyeludupan migran yang melibatkan majikan dan pekerja asing akan diadakan Sabtu ini di Megamall, Pulau Pinang dengan kerjasama agensi-agensi di bawah Mapo. - BERNAMA