suria

Agong Hadiri Majlis 'Raja Dan Rakyat Berpisah Tiada'

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah berkenan berangkat menghadiri majlis persembahan 'Raja dan Rakyat Berpisah Tiada' di Dataran Merdeka di sini, Sabtu malam.

Ketibaan Seri Paduka berdua disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, menteri-menteri kabinet serta duta-duta asing.

Majlis persembahan penuh tradisi dan kebudayaan membabitkan tari dan seni pertahanan diri, yang dijayakan 632 peserta daripada pelbagai persatuan kesenian, diadakan bersempena pertabalan Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14.

Persembahan itu terbahagi kepada empat segmen iaitu Kegemilangan Istana, Dari Rakyat Kepada Raja, Kreatif dan Tarian Rakyat dan Dirgahayu Tuanku.

Ia dimulakan dengan perarakan diraja bermula dari Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur ke Dataran Merdeka yang didahului dengan seekor gajah disertai dengan tiupan Tetuang yang melambangkan raja-raja Melayu dahulu kala.

Ini merupakan kali kedua persembahan seumpama itu dilangsungkan selepas kali pertama pada pertabalan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 sebelum ini.

Seterusnya, Menteri Penerangan Datuk Seri Dr Rais Yatim merangkap Pengerusi Jawatankuasa Khas Pertabalan melafazkan Warkah Sumpah Taat Setia Rakyat, yang ditulis dalam Jawi di atas sekeping kulit, bagi menyatakan kesediaan rakyat mendokong dan mempertahankan institusi raja berperlembagaan.

Persembahan penuh warna-warni kira-kira satu setengah jam itu turut diserikan dengan persembahan artis popular termasuk Jamal Abdillah, Faizal Tahir dan Noraniza Idris.

Program yang disiarkan secara langsung oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan saluran Astro Ceria itu, disaksikan kira-kira 15,000 orang terdiri daripada rakyat tempatan dan pelancong asing.

Tuanku Abdul Halim ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pada 11 April lepas, kali kedua selepas ditabalkan pada 1970.

Kemuncak acara dimeriahkan dengan pertunjukan bunga api selama lima minit sebelum keberangkatan pulang Seri Paduka berdua.

Upacara penutup majlis diserikan dengan Persembahan Khalayak oleh artis dari pelbagai bangsa antaranya Ning Baizura, Awie, Jimmy Palikat, Reshmonu dan Suki.

Sementara itu, rata-rata pengunjung kagum menyaksikan acara itu yang dilakukan dengan penuh adat istiadat diraja.

Rahmad Talib, 31, dari Serdang berkata program itu mampu memupuk semangat cintakan raja selain menampilkan kepada pengunjung asing mengenai Malaysia sebagai negara yang mengamalkan sistem beraja.

Orang kelainan upaya (OKU) Farid Hamad, 35, dari Selayang pula berkata beliau teruja menyaksikan persembahan tradisional pelbagai kaum pada majlis itu.

Pelancong asing, Mehrzad, 38, dari Iran berkata: "Saya tidak pernah menyaksikan sambutan sebegini di negara saya kerana setiap upacara dilangsungkan secara tertutup, bukan di tempat terbuka seperti yang saya saksikan malam ini.

"Ini adalah pengalaman yang mengagumkan bagi saya kerana saya dapat melihat pelbagai budaya dan etnik Malaysia yang hidup dalam suasana harmoni dan aman," katanya. BERNAMA

Artikel Lain