suria

Wanita Thailand Terlepas Tali Gantung

PUTRAJAYA: Seorang wanita Thailand terlepas daripada hukuman gantung selepas Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan rayuannya untuk mengetepikan sabitan serta hukuman mati kerana mengedar 865.8 gram kanabis, sembilan tahun lepas.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum yang mengetuai panel lima anggota bagaimapaun menjatuhkan hukumam penjara 15 tahun terhadap Rosmawati Che Ngah selepas memutuskan pendakwaaan berjaya membuktikan kes 'prima facie' terhadapnya kerana memiliki dadah itu.

Wanita berusia 34 tahun dari Sungai Golok, selatan Thailand, hanya perlu menghabiskan hukuman penjara lapan bulan lagi berikutan hukuman tersebut berkuat kuasa dari tarikh tangkapan pada 31 Januari, 2003.

Dalam penghakimannya, Hakim Malanjum berkata mahkamah mandapati sabitan mengedar dadah terhadap wanita itu tidak selamat ekoran wujud keraguan berhubung pengetahuan tertuduh mengenai dadah itu yang semata-mata berdasarkan kelakuannya.

Beliau juga berkata malang bagi kes pendakwaan apabila pendakwa raya gagal menawarkan saksi material, Dak Sak Che Moh, seorang warga Thailand, kepada pihak pembelaan sebagai saksi. Dak Sak adalah suspek dan ditahan bersama Rosmawati.

Hakim lain dalam panel tersebut ialah Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull Hamid Embong, Datuk Suriyadi Halim Omar, Datuk Hasan Lah dan Datin Paduka Zaleha Zahari.

Rosmawati, seorang penjual buah, didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan bangunan Bank Pertanian Machang, Kelantan, pada kira-kira pukul 12.15 tengah hari, 31 Januari 2003.

Dadah tersebut ditemui dalam bag sandangnya. Pada 16 Jan, 2006, Mahkamah Tinggi meminda tuduhan asal mengedar kepada pemilikan dan menjatuhkan hukuman penjara 14 tahun selepas Rosmawati mengaku bersalah atas tuduhan pindaan itu.

Pada 30 Mac 2009, Mahkamah Rayuan mengakaskan keputuan itu selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan supaya kes itu dirujuk semula ke Mahkamah Tinggi Kota Bharu bagi wanita itu membela diri.

Pada 20 Ogos, 2009, dia didapati bersalah atas tuduhan mengedar dadah dan dikenakan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Kota Bharu yang mana Mahkamah Rayuan mengesahkan keputusan itu pada 11 Mei, 2011.

Rosmawati diwakili oleh peguam Karpal Singh manakala pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Bache dan P.G. Cyril. - BERNAMA

Artikel Lain