KANGAR: Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Perlis awal Selasa menahan 35 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang masuk ke negara ini melalui pagar sempadan di kawasan ladang tebu Chuping dekat sini.Komander UPP Perlis, Deputi Superintendan Zakaria Abd Rahman berkata, tangkapan dibuat kira-kira pukul 3.50 pagi ketika anggota UPP sedang membuat rondaan khas semasa cuti hujung minggu atau cuti umum. Beliau berkata, anggota UPP itu bertembung dengan PATI berkenaan sebelum mereka bertempiaran lari, namun setelah dikepung akhirnya sebanyak 35 orang termasuk dua wanita berumur 16 hingga 35 tahun berjaya diberkas.Katanya, pihak UPP Perlis percaya terdapat kira-kira 100 PATI yang meninggalkan Myanmar sejak 10 hari lalu berkumpul di sebuah ladang pisang di selatan Thailand sebelum menunggu masa sesuai dibawa masuk oleh tekong mereka secara haram ke Malaysia bertujuan mencari kerja.Beliau memberitahu, setakat ini pada tahun ini UPP Perlis berjaya menahan 264 PATI yang kebanyakannya warga Myanmar.Katanya, semua yang ditahan akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen. - BERNAMA