SHAH ALAM: PAS Selangor memberi jaminan demonstrasi menuntut pemansuhan tol Batu Tiga dan Sungai Rasau yang diadakan pada 13 Mei ini akan berlangsung secara aman.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Khalid Samad berkata Pakatan Rakyat Selangor mahu menjadikan tarikh 13 Mei sebagai tarikh perpaduan dan kesatuan pelbagai agama dan kaum dengan penganjuran demonstrasi tersebut.
"Jika sebelum ini tarikh 13 Mei diingati sebagai hari perkauman dan perpecahan kini kita nak ingatkan rakyat bahawa tarikh itu sebagai hari perpaduan dan kesatuan rakyat dengan menuntut supaya tol tersebut dimansuhkan.
"Pemansuhan tol ini merupakan salah satu janji Pakatan Rakyat dalam pilihan umum. Justeru kita akan terus memberikan tekanan kepada kerajaan pusat bagi memansuhkan kedua-dua tol ini," katanya kepada pemberita pada sidang media di pejabatnya pada Khamis.
Khalid berkata, sudah tiba masanya kerajaan menamatkan konsesi syarikat yang terlibat kerana beliau mendakwa tol berkenaan telah wujud lebih daripada 30 tahun dan syarikat konsesi telah menikmati keuntungan daripada pelaburan untuk membina lebuh raya berkenaan.
Beliau turut memberi kenyakinan bahawa demonstrasi tersebut akan berlangsung dalam keadaan aman tanpa menganggu lalu lintas di kedua-dua tol berkenaan.
"Kita hanya mahu mengadakan perhimpunan ini secara aman tanpa ada niat mahu menimbulkan kekecohan atau menggangu lalu lintas. Perhimpunan ini akan bermula pada pukul 2 petang. Kita jangka 2,000 hingga 3,000 orang akan menyertai himpunan ini.
"Peserta yang hadir dikehendaki berhimpun di sepanjang jalan dari kedua-dua arah dan meletakkan kereta di kawasan Rehat dan Rawat yang berdekatan bagi mengelakkan kesesakan dan mengganggu lalu lintas," katanya.
Beliau juga berharap pihak keselamatan dapat mengawal keadaan di situ sepanjang perhimpunan berlangsung.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Tiga, Rodziah Ismail berkata keputusan untuk memansuhkan tol tersebut telah dibincangdan dibahaskan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada 27 Mac lalu.
"Usul ini telah diluluskan sebulat suara. Rasionalnya, kita mahu kerajaan pusat mengkaji konsesi tersebut, sebab ada klausa membenarkan kerajaan membeli balik atas kepentingan nasional.
"Kita mahu ia dikaji, tamat pada 2023, apakah ia telah menguntungkan pihak yang membinanya. Kerajaan wajar beli balik dan mansuhkan," katanya.
Beliau berkata, sebanyak 30,000 kenderaan menggunakan tol tersebut, justeru tidak ada sebab ia tidak menguntungkan pihak yang membinanya.
Dalam perkembangan lain, Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam mengesahkan beliau telah mengemukakan saman balas terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia, Datuk Dr Hasan Ali kerana didakwa menggunakan perkataan berunsur hasutan terhadap dirinya.
"Saya pada mulanya enggan membawa perkara ini ke mahkamah, kerana ia melibatkan arena politik, tapi bila Hasan sudah membawa ke mahkamah. Jadi saya tiada pilihan lain," katanya.
Sehubungan itu, Khalid menjelaskan, beliau telah melantik Hanipah Maidin selaku peguamnya dan akan menyerahkan surat mahkamah kepada Hasan Isnin ini.
"Kes Hasan tidak sekukuh mana, saya ada asas yang lebih kukuh untuk timbulkan persoalan dalam kes ini.
"Apa yang dia sebut saya sebagai parasit dan sebagainya jauh lebih menjejaskan reputasi saya,” tambahnya.
Hasan telah memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Shah Alam terhadap Khalid berhubung dakwaan Pertubuhan Jalur Tiga (Jati) yang diketuainya dikatakan mendapat dana daripada syarikat-syarikat tertentu.