suria

Apa Yang Hendak Diikat...

SESUATU yang sangat menarik telah berlangsung di Seri Kembangan pada tengah hari Khamis (7 Jun).

Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir telah melancarkan sebuah parti politik baru yang dinamakan Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan).

Katanya, parti baru ini akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada mewujudkan perpaduan rakyat Malaysia berpaksikan amanat Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj sebagai Bapa Kemerdekaan negara.

Langsung penulis pun terkenangkan suasana yang sama pada 20 Januari 2011 apabila seorang lagi bekas menteri Umno, Datuk Zaid Ibrahim mengumumkan pelancaran Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita).

Berbeza dengan Ikatan yang mahu memperjuangkan perpaduan rakyat, Kita dilancarkan dengan moto moderat, demokratik dan liberal.

Malah Zaid berkata, Kita merupakan sebuah organisasi hibrid dengan konsep 'think thank' yang menumpukan perhatian kepada kerajaan yang bertanggungjawab kepada rakyat.

Tidak sepertimana Kadir, ketika Zaid melancarkan Kita, dia berjaya menarik kehadiran beberapa tokoh politik seperti Presiden Parti Progresif Rakyat, Datuk M. Kayveas; Ahli Parlimen Padang Serai, P. Gobalakrishnan; Timbalan Presiden Parti Nasional Sarawak (SNAP), Edwin Dundang Bugak; bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Salehhuddin Hashim, wakil Parti Progresif Sabah (SAPP) dan Presiden Parti Cinta Malaysia, Huan Chen Guan.

Tetapi dalam kes Kadir, satu-satunya tokoh politik pencen yang dikenali yang hadir pada majlis pelancaran itu hanyalah Datuk Seri Bujang Ulis, bekas menteri pelajaran pada zaman Dr Mahathir Mohamad dahulu.

PERGELUTAN

Kembali kepada kisah Kita, selepas setahun lebih pelancarannya, parti itu bergelut dengan perebutan kuasa di antara dua kumpulan - satu oleh Zaid dan satu lagi oleh Pengerusi Kita Kedah, Zamil Ibrahim.

Masing-masing cuba menumbang dan memecat satu sama lain.

Dalam politik atau mana-mana organisasi pun, pergelutan berlaku hanya kerana satu sebab - berebut kuasa.

Bayangkan, dalam parti kecil dan baru seperti Kita pun, orang berebut kuasa apatah lagi dalam parti yang ada kuasa.

Oleh kerana Ikatan yang dipimpin oleh Kadir menyatakan yang matlamat mereka adalah mementingkan perpaduan, kita hendak tengoklah selepas setahun nanti, apakah akan kedengaran juga bunyi-bunyi percakaran kerana hendak berebut kuasa di dalam parti.

REALITI

Cuma Kadir agak kelihatan realistik di dalam ucapannya. Beliau angkat tangan siang-siang menyatakan Pilihan Raya Umum Ke-13 bukanlah sasaran mereka tetapi selepas itu.

Tetapi itu tidak dapat menandingi kenyataan beliau yang menyatakan bahawa Ikatan akan menjadi parti terbesar dan utama negara dalam tempoh lima tahun lagi.

Beliau memberi gambaran seolah-olah selepas pilihan raya umum nanti, orang akan naik meluat dengan persaingan parti-parti utama yang sudah bertapak dalam arena politik negara bertahun-tahun lamanya sejak merdeka dan akan menyokong parti seperti Ikatan.

"Dan saya menyasarkan keahlian sebanyak 500,000 hingga satu juta dalam tempoh setahun," katanya penuh yakin.

Inilah yang membezakan ahli politik dengan kita rakyat kebanyakan...tahap keyakinan mereka sangat tinggi dan luar biasa.

Selamat maju jaya untuk Kadir dan parti barunya.

Artikel Lain