suria

Diesel, Petrol Bersubsidi Dirampas, Cuba Diseludup Ke Negara Jiran

SANDAKAN: Pasukan Gerakan Marin (PGM) di sini merampas 12,400 liter minyak diesel dan petrol bersubsidi yang cuba diseludup keluar ke negara jiran.

Rampasan dilakukan selepas pasukan tersebut memeriksa tiga bot kumpit dari Filipina yang berlabuh di pusat pemeriksaan Pulau Berhala dekat sini kira-kira pukul 8.30 pagi Sabtu.

Komander PGM Wilayah Sabah, Asisten Superitendan Abdul Manaf Othman berkata, 6,600 liter bahan yang dirampas itu adalah diesel dan 5,800 liter minyak petrol dengan keseluruhan bernilai RM32,240 di pasar tempatan.

Beliau berkata, minyak diesel itu diisi ke dalam 33 dram dan 29 dram minyak petrol disembunyikan dalam ruang kargo bahagian bawah ketiga-tiga bot tersebut.

Katanya, ketiga-tiga juragan kumpit berusia antara 40 hingga 50 tahun berasal dari Tabawan, Filipina ditahan untuk siasatan lanjut.

Abdul Manaf berkata, mereka ditahan kerana melanggar Peraturan Kawalan Bekalan (Larangan Eksport) 2011 di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, yang boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Beliau berkata, aktiviti penyeludupan barang kawalan itu boleh merugikan rakyat tempatan kerana kerajaan membayar subsidi yang tinggi setiap tahun ke atas barangan tersebut terutama petroleum.

Katanya, minyak petrol dan diesel bersubsidi sepatutnya dimanfaatkan oleh rakyat negara ini tetapi ada pihak tidak bertanggungjawab menyeludupnya keluar negara kerana harga bahan itu mahal di negara jiran. - BERNAMA

Artikel Lain