KUALA LUMPUR: Para jemaah yang terpilih untuk menunaikan haji pada tahun ini diminta untuk melihat isu haji sebagai satu ibadah.Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, amalan mulia itu tidak seharusnya dicampuri dengan urusan politik seperti yang dibangkitkan parti pembangkang baru-baru ini. "Janganlah ibadah haji iaitu rukun Islam kelima dicampuri dengan urusan politik demi kepentingan pihak-pihak tertentu," katanya pada sidang media selepas sesi lawatan ke Tabung Haji di sini, Rabu.Jamil Khir berkata, Tabung Haji boleh mempertimbangkan keputusan jemaah haji yang ingin membatalkan pendaftaran mereka pada tahun ini tetapi dengan meneliti alasan yang diberikan."Jika jemaah sakit, saudara mara terdekat meninggal atau anak-anak menghadapi ujian sehingga memaksa mereka menarik diri, kita akan pertimbangkan mereka untuk menunaikan haji pada tahun depan."Namun, jika mereka tangguhkan ibadah haji kerana pilihan raya umum, mungkin belum tentu dua atau tiga tahun lagi mereka akan dipilih. Ia bergantung dengan kuota yang diberikan Arab Saudi," katanya.Sehubungan itu, beliau menasihatkan jemaah yang terpilih supaya tidak terpengaruh dengan permainan politik pembangkang dan pergi menunaikan ibadah haji pada tahun ini."Selok-eloknya fikirlah baik-baik mengenai perkara ini. Lihatlah ia sebagai satu ibadah, tidak lebih daripada itu," katanya.Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang meminta semua ahli parti itu yang terlibat secara langsung dalam pilihan raya umum akan datang supaya menangguhkan ibadah haji.Tuan Ibrahim yang dipetik Selangorku.com bertarikh 5 Jun lalu sebagai berkata, PAS menjangkakan pilihan raya umum ke-13 akan diadakan pada musim haji iaitu selepas bulan Ramadan antara September hingga Oktober.Sementara itu, Jamil Khir berkata, Tabung Haji kini berada di peringkat akhir dalam proses penyusunan penerbangan dan penempatan jemaah haji."Walau apa pun berlaku, ibadah haji akan tetap berjalan seperti biasa," katanya.Beliau berkata, penerbangan pertama yang membawa jemaah haji akan berlepas pada 17 September ini manakala penerbangan terakhir kembali ke tanah air adalah pada 30 November.Ketika ditanya mengenai kuota haji Malaysia yang diberikan Arab Saudi susulan perhimpunan Bersih 3.0 di Masjid Nabawi, Madinah dan Masjidil Haram, Mekah pada 26 April lalu, Jamil Khir berkata, jumlah sebenar akan diketahui secara rasmi pada bulan Ramadan akan datang.