SEREMBAN: Polis menahan 16 wanita rakyat asing yang disyaki bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di sini, malam Selasa.Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP Hamdan Majid berkata kesemua wanita itu ditahan kerana dipercayai menyalahguna pas lawatan sosial dan pas pelajar mereka. "Kesemua wanita terbabit yang terdiri daripada warga China dan Vietnam berusia antara 21 hingga 37 tahun itu ditahan ketika sedang sibuk melayan pelanggan di premis hiburan karaoke terbabit."Semasa serbuan ada antara mereka cuba melarikan diri atau bersembunyi," katanya ketika dihubungi di sini Rabu.Beliau berkata dalam serbuan yang dilakukan hasil risikan dan pemantauan sejak beberapa hari lepas, polis turut menahan seorang lelaki berusia dalam lingkungan 30-an yang dipercayai menjadi penjaga kepada wanita-wanita terbabit. - BERNAMA