KUALA LUMPUR: Kontroversi pemilikan akaun sejumlah RM3 bilion membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim terus menjadi topik hangat apabila Ketua Pembangkang itu tampil pada Rabu membuat penjelasan berhubung dakwaan berkenaan di Dewan Rakyat.Malah Anwar sekali lagi mengulangi pelawaannya agar pihak berkuasa tampil membuat siasatan semula jika wujudnya bukti-bukti baru membabitkan dakwaan tersebut. "Soal siasat (semula) saya tak halang, saya akan beri kerjasama. Tapi yang saya kesalkan ialah isu ini dikitar semula."Kalau ada bukti lain yang dikemukakan, saya tak ada masalah. Kita boleh berbeza politik...tapi ini (fitnah) tak perlu," katanya pada sesi perbahasan Dewan Rakyat disini.Kira-kira 13 tahun lalu, bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Abdul Murad Khalid dilaporkan mendakwa Anwar mengawal sebanyak 20 akaun induk membabitkan aset, saham dan wang yang keseluruhannya bernilai lebih RM3 bilion.Bagaimanapun Anwar memberitahu Dewan Rakyat bahawa menerusi Akuan Bersumpah (SD) yang dibuat oleh bekas Pengarah Siasatan Badan Pencegahan Rasuah (BPR) pada ketika itu jelas menunjukkan siasatan bagi kes berkenaan ditutup kerana tiada kes.Sementara itu menerusi sidang media di lobi Parlimen, Anwar sekali lagi menegaskan dakwaan terhadap pemilikan aset sejumlah RM3 bilion itu tidak berasas.Ditanya sama ada beliau sedia membuktikan penyata akaun miliknya bagi menafikan dakwaan tersebut, Anwar sebaliknya mencabar pihak yang membuat dakwaan agar berbuat demikian."Kalau saya tuduh anda curi wang, adakah anda yang kena cari bukti? Saya lah yang kena buktikan."Sekarang ini BPR kata tak ada asas...pergi tanya BPRlah (bukti). Anda rogol orang, adakah anda kena cari bukti anda rogol siapa?," katanya.