SEPANG: Seramai 11,650 rakyat Indonesia telah mendapat kelulusan kedutaan negara itu untuk berkhidmat di Malaysia sebagai pembantu rumah, kata Atase Ketenagakerjaan Kedutaan Indonesia Agus Triyanto.Bagaimanapun, katanya mereka hanya boleh dibawa masuk selepas menerima sijil kecekapan menjalani latihan sebagai pembantu rumah selama 200 jam yang dikeluarkan Pihak Berkuasa Persijilan Profesional Indonesia serta mematuhi beberapa syarat lain yang dipersetujui di bawah memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua negara. "Indonesia tidak akan luluskan mana-mana pembantu rumah ke luar negara termasuk Malaysia jika tidak ada sijil kecekapan ini," katanya kepada pemberita selepas menyambut ketibaan empat pembantu rumah Indonesia yang kemasukan mereka diuruskan oleh Pertubuhan Kebangsaan Agensi Pekerjaan Malaysia (PIKAP) di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di sini Isnin.Mengikut sijil itu, pembantu rumah akan melakukan kerja-kerja yang bersesuaian dengan latihan yang telah diperolehi termasuklah membersih dan mengemas rumah, ruang dapur, bilik mandi dan bilik tidur serta mencuci pakaian."Selain (tugas) itu, ia tidak boleh (buat kerana) dia memang tidak mempunyai kepakaran. Mereka tidak boleh dikatakan tidak cekap (jika gagal melakukan tugas lain selain daripada apa yang dipelajari semasa latihan 200 jam)," katanya.Beliau berkata, kesemua pembantu rumah yang dibawa pada Isnin adalah kumpulan pertama pembantu rumah Indonesia yang telah mematuhi kesemua syarat ditetapkan, manakala lapan orang lagi akan datang ke Malaysia dalam masa terdekat.Agus juga berkata kerajaan Indonesia tidak membuat penangguhan dalam menghantar rakyatnya ke negara ini seperti yang didakwa, sebaliknya untuk memastikan mereka membuat persediaan dan latihan secukupnya sebelum bekerja di Malaysia.Pada 30 Mei tahun lepas, kedua-dua negara menandatangani protokol bagi meminda MoU Mengenai Pengambilan dan Penempatan Pembantu Rumah Indonesia 2006, dengan memperkemaskan peruntukan-peruntukan, terutamanya berkaitan perlindungan dan kesejahteraan untuk pekerja dan majikan.Antara persetujuan yang dicapai, kos pengambilan pembantu rumah ditetapkan pada RM4,511 dan majikan hanya boleh mengambil balik RM1,800 yang dibayar terlebih dahulu bagi pihak pekerja mereka kepada agensi pekerjaan.Selain itu pembantu rumah akan diberi satu hari cuti setiap minggu dan mereka dibenarkan memegang pasport sendiri.Sementara itu, Agus turut mengakui ketibaan 29 pembantu rumah Indonesia ke Malaysia pada awal bulan ini yang didakwa Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (PAPA) sebagai kumpulan pertama yang memasuki Malaysia selepas pindaan MoU itu, adalah kemasukan secara sah."Cuma belum mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan dalam MoU baru. Jadi agensi yang bawa mereka masuk ini diminta datang ke kedutaan dalam masa dua minggu untuk semak semula kriteria yang belum dipenuhi sebelum dikenakan sebarang tindakan," katanya.Presiden Pertubuhan Kebangsaan Agensi Pekerjaan Malaysia (Pikap) Datuk Raja Zulkepley Dahalan berkata, pihaknya gembira kerana dapat menguruskan kemasukan pembantu rumah Indonesia berasaskan peraturan yang ditetapkan dalam MoU meskipun bilangan yang dibawa adalah kecil.Katanya, Pikap yang dianggotai kira-kira 190 ahli sedang giat berurusan dengan rakan perniagaan mereka di Indonesia untuk membawa masuk lebih ramai pembantu rumah masuk ke negara ini kerana permintaan yang tinggi daripada majikan. - BERNAMA