suria

Zahid Umum Dividen 14 Peratus Koperasi Tentera

KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Ahad mengumumkan pengagihan dividen sebanyak 14 peratus bagi tahun kewangan 2011 kepada ahli Koperasi Tentera.

Beliau berkata dividen tersebut dibuat kerana kejayaan koperasi itu mengumpul aset lebih RM2 bilion pada tahun lepas dengan mencatat keuntungan sebelum cukai RM212 juta berbanding RM159 juta pada tahun 2010.

"Koperasi Tentera merupakan salah satu koperasi yang terbaik di negara kita dengan bilangan ahli kira-kira 144,000 orang dan diterajui pemimpin yang berkualiti membolehkan koperasi ini mencatat peningkatan keuntungan.

"Insyallah kita menyasarkan aset koperasi ini akan mencecah RM10 bilion menjelang tahun 2020 dengan meletakkan koperasi tentera sebagai koperasi yang paling berjaya," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Tentera yang ke-47, di Kem Sungai Buloh, di sini.

Turut hadir pada majlis tersebut, Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar, Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Rodzali Daud dan Pengerusi Koperasi Tentera, Brigidier Jen Datuk Mohd Nizam Jaffar.

Zahid yang juga penanung Koperasi Tentera berkata tindakan koperasi itu menceburi industri Ar-Rahnu dengan membuka tiga buah cawangan di Kota Bharu, Kelantan, Kluang, Johor dan Sungai Besi pada penghujung tahun ini merupakan langkah yang tepat bagi menambah aset koperasi.

Sebelum itu dalam ucapannya, Zahid menyeru anggota tentera agar terus memberikan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang disifatkannya sangat menjaga kebajikan anggota tentera selama ini.

"Insyallah kalau Perdana Menteri kita terus menjadi pemimpin selepas pilihanraya ini, saya yakin akan ada pengumuman yang luar biasa untuk anggota tentera," katanya sambil disambut tepukan gemuruh dari ahli koperasi tentera.

Zahid melahirkan rasa gembira dengan kehadiran lebih 22,000 ahli koperasi itu yang disifatkannya sebagai luar biasa.

"Kalau jumlah yang datang seramai ini, sampai sesak lalu lintas, Insyallah tahun hadapan kita akan anjurkan di Stadium Nasional Bukit Jalil," katanya.

Sementara itu, Mohd Nizam berkata dalam mengorak langkah menjadi koperasi terbaik di Malaysia, Koperasi Tentera menyasarkan menjadi sebuah bank koperasi menjelang tahun 2015 sejajar dengan sasaran Suruhanjaya Koperasi Malaysia yang mahu melihat wujudnya sekurang-kurangnya empat bank koperasi menjelang 2020.

"Kita sedang membuat persediaan untuk meningkatkan keupayaan bagi mencapai sasaran tersebut," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain