suria

130,000 Penumpang Guna Perkhidmatan MyKomuter Harian Menjelang Akhir 2012

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan mensasarkan 130,000 penumpang menggunakan perkhidmatan MyKomuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sehari menjelang akhir tahun ini, apabila 13 set tren komuter enam koc (SCS) beroperasi sepenuhnya hujung bulan ini.

Menterinya Datuk Seri Kong Cho Ha berkata pada masa ini set SCS canggih itu yang beroperasi secara berperingkat masih dalam proses pengujian dan pentauliahan.

Bercakap pada sidang media di sini, Selasa, Kong berkata pada masa yang sama KTMB menambah bilangan tren yang beroperasi kepada 25 set bagi menyediakan perkhidmatan komuter yang lebih baik dan selesa kepada pengguna di Lembah Klang.

"Peningkatan kapasiti ini dilaksanakan untuk menampung jumlah penumpang yang lebih ramai selain frekuensi dapat ditingkatkan daripada 30 minit kepada 15 minit pada waktu puncak," katanya.

Kong sebelum itu mengadakan lawatan inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) di Pusat Kawalan Keretapi KL Sentral sebelum menaiki tren komuter ke Stesen KTM Komuter Serdang.

Kong berkata tambahan tren itu melonjakkan bilangan penumpang daripada 80,000 kepada 100,000 orang sehari.

"Ini merupakan usaha kerajaan dalam menambah baik perkhidmatan komuter selain usaha proaktif menangani rungutan pengguna terhadap perkhidmatan KTMB bagi mengatasi masalah pembatalan, kelewatan serta kekurangan set KTM Komuter," katanya.

Pada masa yang sama Kong meminta orang ramai agar tidak merosakkan tren komuter termasuk 38 set SCS itu yang diperoleh dari China pada harga RM1.9 bilion bagi memenuhi NKRA-Pengangkutan Awam Bandar.

Katanya KTMB menerima laporan mengenai perbuatan kanak-kanak di tepi landasan membaling batu ke arah cermin tren yang turut membahayakan penumpang.

"KTMB akan bekerjasama dengan polis untuk memantau perbuatan itu dan tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang," katanya menambah setakat ini 27 kes sedemikian direkodkan.

Beliau juga berkata kerajaan akan menyiapkan 6,800 tapak parkir 'Park n Ride' Stesen KTM Komuter Serdang menjelang hujung tahun ini seperti yang disasar dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP).

"Stesen KTM Komuter Serdang adalah antara stesen yang mempunyai jumlah penumpang yang tinggi dan untuk menampung keperluan itu, sebanyak 400 tapak parkir akan dibangunkan.

"Dengan kos RM8.48 juta, kemudahan parkir itu akan dilengkapi dengan kemudahan mesra untuk orang kelainan upaya (OKU), kamera litar tertutup (CCTV), tandas, lif and laluan pejalan kaki berbumbung," katanya. Kerajaan juga mensasarkan untuk menyediakan 18 tapak parkir (Park n Ride) bagi stesen komuter di Lembah Klang. - BERNAMA

Artikel Lain