suria

Wanita Warga Emas Ditemui Mati Dicekik Dalam Kes Samun

KUANTAN: Seorang wanita warga emas ditemui mati dipercayai dicekik dalam satu kejadian samun di rumahnya di Lorong Alor Akar 30, di sini Khamis.

Ketika kejadian, mangsa Goh Eng Mooi, 60, dilaporkan tinggal bersendirian manakala semua lima anaknya yang tinggal di rumah berkenaan berada di tempat kerja masing-masing.

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Mohd Jasmani Yusoff berkata, kejadian hanya disedari seorang anak lelakinya yang pulang dari tempat kerja kira-kira 4 petang untuk membawa mangsa menjalani pemeriksaan rutin di sebuah hospital pakar di sini.

"Ketika memasuki rumah, anak mangsa terkejut apabila melihat ibunya terbaring kaku dalam sebuah bilik dengan kesan lebam di lehernya.

"Anak mangsa kemudiannya membawa wanita itu ke Hospital Pakar Kuantan (KSH) bagaimanapun doktor di situ mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia," katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Kata Mohd Jasmani, pihak polis menerima panggilan dari hospital terbabit kira-kira pukul 4.40 petang memaklumkan berhubung kematian wanita berkenaan.

Hasil siasatan Unit Forensik polis di lokasi kejadian, didapati dua komputer riba, sebuah telefon bimbit dan wang tunai kira-kira RM200 hilang dari rumah itu, katanya.

"Kita juga percaya kematian mangsa disyaki ada kaitan dengan unsur jenayah dan berkaitan dengan kes samun di rumah berkenaan, pihak polis masih menyiasat kes itu," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain