suria

Adun Pelagus Selamat

KUCHING: Anggota Dewan Undangan Negeri Pelagus George Lagong, yang pada mulanya disangka menaiki helikopter jenis Eurocopter EC 120 yang terhempas bersama empat orang, termasuk juruterbangnya, berhampiran muara Sungai Lingga di Sri Aman awal pagi Jumaat, berada dalam keadaan selamat.

Lagong berkata beliau sering menaiki helikopter milik Sebiro Holdings itu, yang pemiliknya mempunyai hubungan rapat dengan beliau melalui ikatan keluarga dan politik.

"Syukur kepada Tuhan, saya berada dalam keadaan selamat di Kapit dan berharap kesemua tiga penumpang yang masih hilang, akan ditemui dalam keadaan selamat," kata timbalan presiden Parti Pekerja Sarawak (SWP) itu kepada Bernama di sini.

Juruterbang berbangsa Jerman dikenali sebagai Rico Steger, 35, diselamatkan nelayan tempatan.

Bagaimanapun, nasib tiga penumpang lagi, dikatakan seorang jurutera dan dua juru perunding syarikat itu, yang menaiki helikopter berkenaan dari sini bagi membuat penilaian tentang satu projek di Nanga Merit dekat Kapit, masih belum diketahui.

Lagong berkata beliau yakin penuh dengan kecekapan Steger sebagai juruterbang kerana kebolehannya terbukti ketika mengendalikan helikopter dalam cuaca buruk dalam satu penerbangan rasmi ke Long Busang, Belaga, baru-baru ini. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain