suria

Warga Vietnam Maut, Isteri Parah Ditetak

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Vietnam maut manakala isterinya parah selepas ditetak dipercayai akibat pergaduhan di sebuah rumah di Bandar Mahkota Cheras di sini, Ahad.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Abdul Rashid Abdul Wahab berkata kejadian kira-kira 6.30 petang di rumah teres dua tingkat di Jalan Dayang 52/8 itu mula disedari jiran yang terdengar bunyi bising dari rumah berkenaan sebelum memaklumkan kepada polis.

Mangsa maut dipercayai akibat ditetak di kepala dan telinga kanan dengan beberapa kesan kelar serta tikaman di leher, dada dan bahu kanan, manakala isterinya cedera parah akibat empat tetakan di kepala.

"Siasatan awal mendapati mangsa lelaki yang berseluar pendek itu ditemui mati di bilik tidur utama rumah itu manakala isterinya dalam keadaan duduk dan berlumuran darah di ruang tamu.

"Berdasarkan keadaan rumah yang berselerak, polis tidak menolak kemungkinan kejadian berlaku akibat pergaduhan," katanya kepada pemberita di tempat kejadian malam Ahad.

Abdul Rashid berkata polis turut menemui sebilah parang masih bersarung di bilik tidur utama dan sebilah lagi di bilik air dengan kesan darah.

Suspek dipercayai masuk melalui pintu hadapan sebelum menyerang isteri mangsa yang berada di ruang tamu dan menyerang si mati di bilik tidur, katanya.

Beliau berkata polis mendapati rumah itu disewakan seorang lelaki kepada pasangan itu yang tinggal bersama dua adik lelaki si mati sejak bulan lepas.

Identiti pasangan itu masih belum dikenal pasti, katanya sambil menambah mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Kajang untuk bedah siasat manakala isterinya dirawat di hospital sama. -BERNAMA

Artikel Lain