PASIR MAS: Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), syarikat yang bertanggungjawab mengendalikan perkhidmatan air bersih di negeri ini, membina lima telaga tiub untuk menampung bekalan air bagi kegunaan kira-kira 125,000 penduduk di jajahan ini dan sebahagian jajahan Tumpat.Ketua Jabatan Pembangunan Teknikal AKSB Ir Wan Mohd Zamri Wan Ismail berkata pembinaan telaga tiub itu sebagai langkah segera pihaknya mengatasi masalah gangguan bekalan air pada musim perayaan ini, apabila ramai anak perantauan dijangka pulang ke negeri ini. Beliau berkata ia sebagai langkah jangka pendek mengatasi masalah Loji Rawatan Air Kelar di sini, yang menggunakan sumber air Sungai Kelantan yang gagal beroperasi sepenuhnya berikutan musim kemarau berpanjangan sejak awal tahun ini."Pihak kami mendapati tahap kekurangan air di muka sauk (lokasi air disedut) Sungai Kelantan untuk dipam ke tangki utama Loji Rawatan Air Kelar adalah yang terburuk dalam tempoh 25 tahun," katanya.Wan Mohd Zamri berkata dua daripada telaga tiub itu telah beroperasi manakala tiga lagi dalam pembinaan dan dijangka siap sebelum Aidilfitri ini.Beliau berkata masalah paras air rendah sungai Kelantan kini bukan sahaja dilihat menjejaskan operasi loji itu malah turut melibatkan sistem pengairan di rumah pam Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).Wab Mohd Zamri berkata jika masalah kemarau terus berpanjangan, pihaknya bercadang mengepam air sungai yang berada pada tahap rendah, yang tidak mampu dipam oleh loji itu. - BERNAMA