suria

183 Penumpang Berdepan Detik Cemas Monorel Rosak Di Tengah Landasan

KUALA LUMPUR: Kira-kira 183 penumpang berdepan detik mencemaskan apabila monorel yang dinaiki rosak dan tersangkut di atas landasan di Brickfields pada Sabtu.

Jurucakap bilik gerakan Balai Bomba dan Penyelamat Hang Tuah berkata pihaknya menerima panggilan pada kira-kira 2.18 petang.

"Monorel itu tersangkut berhampiran Stesen Tun Sambanthan sejurus keluar dari stesen tersebut menuju ke Stesen seterusnya, iaitu Maharajalela," katanya.

Beliau berkata seramai 35 anggota bomba dan enam jentera dari Balai Bomba Hang Tuah, Taman Desa, Pantai, Sri Hartamas bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan.

"Kami menyelamatkan 63 mangsa menggunakan kren bomba dan selebihnya menggunakan kaedah 'train-to-train evacuation' untuk menolak tren terbabit ke stesen Tun Sambanthan," katanya sambil menambah operasi menyelamat tamat pada kira-kira 4 petang.

Sementara itu, Pengurus Hal Ehwal Media Syarikat Prasarana Negara Berhad Azhar Ghazali berkata kejadian berlaku pada 1.58 petang ekoran masalah 'traction Control' yang menyebabkan enjin berhenti secara automatik.

"Bagaimanapun, operasi berjalan seperti biasa pada 4.30 petang selepas operasi membaik pulih monorel selesai," katanya.

Beliau berkata seramai tiga penumpang dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur kerana seorang daripada mereka pengsan manakala dua lagi sesak nafas berikutan kejadian itu.

Sementara itu, seorang penumpang, Nur Izzah Nazihah Hasnul Bahrin, 14, dari Nilai, berkata sejurus sebelum insiden itu, tren yang bergerak seperti biasa tiba-tiba berhenti secara mengejut.

"Enjin tren berhenti secara tiba-tiba dan penghawa dingin juga tidak berfungsi," katanya.

Beberapa minit kemudian, beliau berkata semua penumpang mula cemas apabila terlihat dua orang pengsan akibat sesak nafas, selain keadaan yang panas di dalam tren itu.

"Satu jam kemudian, kami semua amat gembira apabila melihat anggota bomba tiba dan menyelamatkan semua penumpang," katanya.

Sementara itu, seorang pelancong dari England yang hanya ingin dikenali sebagai Matthew, 27, berkata keadaan di dalam tren amat sesak sebelum beliau menaikinya di Stesen Tun Sambanthan untuk ke Stesen Maharajalela. "Ketika tren tiba-tiba berhenti masih ada penumpang yang ketawa kerana tidak menyedari apa yang sebenarnya berlaku," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain