CHERAS: Harga barangan terkawal di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri akan berkuat kuasa selama dua minggu bermula Isnin.Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, harga maksimum telah ditetapkan untuk 20 jenis barangan seperti ayam, telur dan tomato. Beliau berkata, peniaga dikehendaki menandakan barangan terkawal itu dengan menggunakan tanda harga berwarna merah jambu."Peniaga yang didapati tidak mempamerkan tanda harga berwarna jambu untuk 20 barangan tersebut atau menjual melebihi harga maksimum akan dikenakan tindakan undang-undang," katanya.Ismail Sabri berkata demikian ketika menyampaikan sumbangan kepada 517 ibu tunggal, warga tua dan orang kelainan upaya mewakili Yayasan 1Malaysia Development Berhad di pejabat Umno cawangan Cheras di sini.Beliau berkata, pegawai kementerian akan menjalankan pemeriksaan rutin di seluruh negara dan menggesa persatuan pengguna untuk menempatkan anggotanya bagi memantau peniaga dan memastikan mereka mematuhi harga maksimum ditetapkan.