suria

80 Peniaga Dikompaun Jual Rokok Di Bawah Harga Minimum Ditetapkan

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan mengeluarkan kompaun berjumlah RM40,000 kepada 80 peniaga di seluruh negara kerana kesalahan menjual rokok pada harga di bawah RM7 sekotak, iaitu di bawah harga minimum ditetapkan kerajaan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman berkata operasi penguatkuasaan peringkat kebangsaan bagi siri ketujuh tahun ini yang dinamakan 'Ops Basuh II' di seluruh negara sejak Julai lepas, adalah bagi memastikan peniaga mengikut garis panduan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

"Dalam operasi melibatkan pemeriksaan ke atas 2,085 premis kedai yang menjual rokok di seluruh negara, 90 kedai didapati melanggar peraturan harga minimum rokok yang ditetapkan.

"80 peniaga dari 90 kedai berkenaan didapati melakukan kesalahan menjual rokok di bawah RM7 sekotak dan dikenakan kompaun minimum RM500 setiap seorang," katanya dalam satu kenyataan di sini Isnin.

Beliau berkata kementerian turut merampas 1,905 kotak rokok dengan nilai pasaran berjumlah RM13,335 dari 51 kedai yang menjual rokok di bawah harga minimum ditetapkan.

Selain itu, Dr Hasan berkata 10 peniaga didakwa di mahkamah kerana menjual rokok tanpa amaran kesihatan bergambar pada kotaknya yang dikategorikan sebagai rokok tidak sah.

Peniaga berkenaan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjara maksimum dua tahun di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004, katanya.

"Sebanyak 1,421 kotak rokok tidak sah dengan nilai pasaran sebanyak RM9,947 dirampas dari 10 buah kedai kerana melakukan kesalahan menjual rokok tanpa amaran kesihatan bergambar," katanya.

Dr Hasan berkata kementerian mendapati pematuhan peniaga terhadap harga minimum rokok dan menjual rokok tanpa amaran kesihatan bergambar semakin baik apabila 90 notis kesalahan dikeluarkan pada Ops Basuh II berbanding operasi sebelumnya iaitu 121 notis dikeluarkan pada Februari lepas.

Kementerian Kesihatan meminta kerjasama orang ramai supaya melaporkan kepada kementerian di talian 03-88834400 jika mendapati peniaga melakukan kesalahan-kesalahan berkenaan. - BERNAMA

Artikel Lain