KUALA LUMPUR: Jumlah kenderaan di lebuh raya utama seperti Lebuhraya Utara-Selatan menunjukkan pertambahan ketika orang ramai mula bergerak meninggalkan ibu kota untuk pulang ke kampung bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri serta cuti sekolah bermula Khamis.Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) ketika dihubungi memberitahu pertambahan kenderaan di beberapa kawasan di sebelah utara menyebabkan kenderaan bergerak perlahan. Ini termasuk aliran trafik dari Seberang Jaya menuju ke plaza tol Juru dan susur keluar Rawang menuju ke utara.Dalam pada itu, aliran trafik menuju ke selatan dilaporkan sesak dari arah Machap menuju ke Ayer Hitam."Buat masa ini, pergerakan trafik menuju ke selatan masih terkawal walaupun menunjukkan pertambahan kenderaan," kata jurucakap itu sambil menambah keadaan trafik dari ibu kota menuju ke Pantai Timur masih terkawal.Sementara itu, jurucakap PLUS Expressways Bhd berkata trafik bergerak perlahan dari arah Subang menuju ke Damansara di kedua-dua arah berikutan pertambahan kenderaan."Secara keseluruhan, berlaku pertambahan kenderaan menuju ke utara dan selatan tetapi masih terkawal," katanya.PLUS menjangkakan kenderaan keluar dari ibu negara akan bertambah malam ini kerana orang ramai pulang ke kampung halaman masing-masing.Dalam pada itu, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Shaziman Abu Mansor yang melakukan tinjauan trafik dengan helikopter, berkata trafik dilihat semakin bertambah di plaza tol menuju ke luar ibu kota seperti di Jalan Duta, Sungai Besi dan Gombak, begitu juga di jalan persekutuan.Bercakap kepada pemberita, beliau berkata purata 1.7 juta kenderaan menggunakan lebuh raya PLUS setiap hari menjelang hari raya, berbanding 1.2 juta pada hari biasa."Bagi Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1, purata trafik harian ialah 32,843 kenderaan pada hari biasa dan dijangka meningkat kepada 130,000 kenderaan menjelang Aidilfitri," katanya.Beliau turut meminta pemegang konsesi lebuh raya tidak mengadakan apa-apa program sumbangan hari raya di plaza tol demi kelancaran trafik. BERNAMA