SERDANG: Hospital Serdang akan memulakan Unit Pakar Jantung Pediatrik sebelum akhir tahun ini dengan kos peralatan dan kelengkapan terkini bernilai RM20 juta, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.Beliau berkata, keperluan unit itu begitu terdesak buat masa ini dengan jumlah bayi yang memerlukan rawatan dan pembedahan jantung terus meningkat. "Memandangkan pesakit jantung bayi ini amat mendesak, kita perlu menambah pusat ini di mana kebanyakan kes penyakit jantung bayi memerlukan rawatan pembedahan segera."Hospital Serdang telah dikenal pasti sebagai hospital yang mempunyai kepakaran jantung, banyak pembedahan jantung telah dapat dilaksanakan di hospital ini."Kita sudah kenal pasti pakar itu, tetapi kita kena siapkan dulu dengan kelengkapan," katanya kepada pemberita selepas melawat Hospital Serdang bersama isteri, Datin Seri Lee Sun Loo, sempena Aidilfitri pada Ahad.Liow berkata, sebagai permulaan, seorang pakar jantung akan ditempatkan di hospital itu dan bilangannya akan ditambah secara berperingkat, mengikut keperluan.Beliau berkata ketika ini, hampir 1,000 hingga 1,500 pesakit pediatrik yang menghadapi masalah jantung menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) setiap tahun.Bagi kes yang memerlukan rawatan pembedahan segera pula, mereka terpaksa dihantar ke hospital pakar swasta atau luar negara."Dengan bermulanya operasi hospital ini, maka masa menunggu untuk pembedahan jantung bayi boleh dikurangkan," katanya sambil menjelaskan dengan usaha penaiktarafan itu, Hospital Serdang bakal menjadi hospital pakar jantung bayi kerajaan kedua yang menawarkan khidmat pembedahan jantung selepas IJN.Sementara itu, Liow berkata, pelbagai pendekatan terus diambil bagi menyelesaikan masalah parkir yang menjadi rungutan utama pesakit dan pelawat di semua hospital kerajaan di negara ini. - BERNAMA