KUALA LUMPUR: Sejumlah 332 kes demam denggi dilaporkan sepanjang minggu lepas, dengan Sarawak menunjukkan peningkatan sebanyak 18 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Seri Dr Hassan Abdul Rahman.Berbanding minggu sebelumnya, 379 kes dilaporkan dengan kadar pembiakan aedes didapati meningkat di enam negeri iaitu Perlis, Kedah, Selangor, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Kelantan, katanya dalam kenyataan hari pada Khamis. Beliau berkata jumlah kes terkumpul demam denggi dari Januari sehingga 18 Ogos lepas adalah 14,244 kes, iaitu meningkat 10 peratus atau 1,288 kes bagi tempoh sama tahun lepas dengan 26 jumlah kematian iaitu meningkat lima kes berbanding 21 kematian yang dilaporkan pada tahun lepas.Justeru, beliau mengesa orang ramai supaya menjaga kebersihan persekitaran kediaman kerana peningkatan kes dan wabak demam denggi dipengaruhi peningkatan kadar pembiakan aedes.Mengenai perkembangan kes jangkitan influenza A (H1N1) susulan kematian seorang wanita akibat jangkitan tersebut di Negeri Sembilan pada 9 Ogos lalu, Dr Hassan menasihatkan mereka yang mempunyai gejala jangkitan agar berehat di rumah dan tidak berada di tempat tumpuan ramai."Saya ingin mengingatkan orang ramai untuk sentiasa mengamalkan langkah mudah pencegahan penularan jangkitan influenza A (H1N1)," katanya.-BERNAMA