suria

Aktiviti Pembalakan Di Sembrong Bermula

JOHOR BARU: Dua syarikat perladangan getah memulakan aktiviti pembalakan di Hutan Sembrong, Mersing, salah satu koridor hidupan liar terpenting di negara ini.

Kedua-dua syarikat tersebut menerima kelulusan daripada Kesan Penilaian Alam Sekitar (EIA) tahun lalu tetapi masih belum mengemukakan Pelan Pengurusan Alam Sekitar yang memperincikan butiran bagaimana kesan buruk ke atas hidupan liar dan alam sekitar dapat dikurangkan, menurut Pengarah Jabatan Alam Sekitar Johor, Mokhtar Abdul Majid.

Jabatan Perhutanan Negeri Johor mengeluarkan lesen itu baru-baru ini kepada dua syarikat tersebut untuk menjadikan tanah seluas 2,023ha kepada monokultur getah.

Terdapat papan pemberitahuan di dua tapak projek yang memperincikan lesen pembalakan telah dikeluarkan.

Notis pemberitahuan itu menyatakan setiap syarikat dibenarkan untuk membersihkan hutan seluas 404ha dari Mei hingga November dan dari Jun hingga November.

"Ia adalah salah bagi Jabatan Perhutanan Negeri mengeluarkan sebarang lesen pembalakan sebelum proses EIA dilengkapkan.

"Lesen itu sepatutnya dibatalkan sehingga Pelan Pengurusan Alam Sekitar diserahkan dan diluluskan oleh Jabatan Alam Sekitar," kata Setiausaha Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Lim Teck Wyn.

Dalam satu kenyataan, MNS berkata peruntukan mengenai proses EIA perlu dihormati.

"Pembangunan yang mampan di Malaysia memerlukan kerjasama erat dengan pelbagai agensi berkaitan dengan pengurusan alam sekitar seperti hutan, hidupan liar dan air.

"Tiada pihak berkepentingan, seperti pembalak patut dibenarkan untuk menguasainya," katanya.

Bulan lalu,The Star mendedahkan risiko aktiviti perladangan dan pembalakan dilakukan dua syarikat tersebut yang boleh menjejaskan hidupan liar di bawah pelan induk projek Central Forest Spine (CFS).

CFS bertujuan untuk memelihara, memulihara dan meningkatkan perhubungan di antara kelompok-kelompok hutan kecil dan kompleks-kompleks hutan utama di Semenanjung Malaysia.

Jabatan Alam Sekitar memberitahu dua kegiatan perladangan yang lain telah diluluskan.

Walaupun aktiviti pembalakan belum dijalankan, kawasan yang diusahakan akan diperluaskan sehingga 9,038ha.

Ia akan menjejaskan lingkaran hutan menghubungkan Endau-Kluang dan Endau-Kota Tinggi yang semakin sempit.

Menurut laporan EIA, koridor hutan itu akan susut dari 10km hingga 1.5km, jauh di bawah luas minimum yang disyorkan iaitu 5km.

Ia akan menjejaskan habitat terbesar harimau untuk mendapatkan makanan.

"Pelan Tindakan Pemulihan Harimau Kebangsaan bertujuan untuk meningkatkan populasi harimau sebanyak dua kali ganda menjelang 2020.

"Pemburuan liar sudah memberi kesan buruk kepada Taman Negara," kata Lim.

Artikel Lain