TAMPARULI (Sabah): Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berpendapat adalah wajar undang-undang antilompat disemak semula untuk menghalang ahli politik daripada tukar parti selepas dipilih sebagai anggota Parlimen atau Dewan Undangan Negeri.Beliau berkata kebebasan berpersatuan adalah dikawal oleh undang-undang, dan dengan meletak jawatan atau memaksa seseorang wakil rakyat untuk meletak jawatan apabila beliau melompat parti, ia akan membolehkan pilihan raya kecil diadakan. "Sudan tentu, ini membolehkan kebebasan untuk memilih dan ia sebenarnya membenarkan rakyat menyuarakan pandangan mereka selaras dengan prinsip demokrasi...ini tidak menjejaskan kebebasan untuk berpersatuan."Tetapi setakat ini tiada pihak mencadangkannya (untuk semakan) jadi kita tidak dapat bahaskan perkara ini. Ini adalah pendapat saya. Ia (undang-undang antilompat) sebenarnya tidak menyekat kebebasan untuk berpersatuan," katanya kepada pemberita semasa ditemui di majlis rumah terbuka Aidilfitri Parti Bersatu Sabah (PBS) di Dewan Tun Hamdan, di sini, Ahad.Pairin, yang juga Presiden PBS, diminta mengulas cadangan DAP Pulau Pinang bari-baru ini untuk mewujudkan undang-undang antilompat.Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dipetik sebagai berkata negeri itu bercadang mewujudkan undang-undang antilompat pada November, sebelum pilihan raya umum ke-13 yang perlu diadakan selewat-lewatnya April tahun depan.Pairin, bekas Ketua Menteri Sabah, berkata undang-undang antilompat bertujuan untuk menyedarkan rakyat, khususnya wakil rakyat akan peranan dan tanggungjawab sebenar mereka."Anda perlu berpegang kepada janji anda...kontrak sosial antara pengundi dan calon (untuk tidak lompat parti)," katanya dan menurutnya "kita akan lihat reaksi daripada pengamal undang-undang mengenai cadangan DAP Pulau Pinang untuk mewujudkan undang-undang antilompat".Kerajaan negeri Sabah ketika di bawah pimpinan PBS pernah menguatkuasakan undang-undang seumpama itu pada 1980-an tetapi kemudiannya diisytiharkan sebagai ultra vires kepada Perlembagaan Persekutuan kerana ia menghalang kebebasan individu untuk berpersatuan. BERNAMA