suria

150,000 Hadiri Himpunan 55 Tahun Merdeka 'Janji Ditepati'

KUALA LUMPUR: Keceriaan meraikan sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 jelas terpapar di wajah lebih 150,000 orang yang menghadiri Himpunan 55 Tahun Merdeka: Janji Ditepati yang berlangsung dengan gah dan semangat kecintaan kepada negara di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini.

Program bermula pada 8.30 malam dengan acara jalan kaki perpaduan sejauh 380 meter mengelilingi stadium, yang disertai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noraini Abd Rahman.

Turut sama Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim, menteri Kabinet, pemimpin parti komponen Barisan Nasional, rakyat pelbagai kaum serta generasi Y.

Memeriahkan acara malam Jumaat adalah 8,500 peserta antaranya menerusi persembahan bertenaga dan hebat generasi Y dengan lagu 'Gemuruh Suara'.

Selain itu, pengunjung disajikan tarian 'flash mob' 1Malaysia, Dikir 1Malaysia, Go Malaysia Go, Lagu Patriotik - Nadi Rakyat dan persembahan Kumpulan Soka Gakkai Malaysia.

Tweet Up Merdeka juga berjaya mencapai matlamat rekod dunia Perhimpunan Pengguna Twitter Terbesar Dunia dengan 10,128 pengguna Twitter dan menempa rekod dalam Malaysia Book of Records sebagai Jumlah Tweet Terbanyak Dalam Tempoh Satu Jam dengan 3,611,323 tweet.

Sempena himpunan itu, Najib menyampaikan hadiah kepada empat pemenang Rangka Kerja Abad Ke-21, empat Anugerah Desa Sejahtera dan Anugerah Pencapaian Cemerlang kepada lapan ikon.

Acara diakhiri dengan persembahan penutup diiringi percikan bunga api antara yang paling menarik pernah disaksikan tahun ini.

Najib kemudian menyertai Santai Merdeka Raya bersama rakyat di luar stadium. - BERNAMA

Artikel Lain