KUALA LUMPUR: Ketua Pengarang Kumpulan The Star, Datuk Seri Wong Chun Wai dipilih menyertai lembaga Forum Editor Dunia (WEF), menjadikan beliau wartawan Malaysia pertama dipilih menyertai badan dunia itu.WEF yang berpangkalan di Paris adalah organisasi di dalam Persatuan Akhbar Dunia dan Penerbit Baru (Wan-Ifra) yang mewakili Ketua Pengarang dan Eksekutif Kanan Berita yang lain. Wong juga antara beberapa editor pertama dari Asia yang dipilih menyertai 21 ahli lembaga WEF yang dikuasai oleh editor dari Eropah dan Amerika Syarikat.Pemilihan diadakan di Kiev, Ukraine pada Ahad di mana lebih 1,000 penerbit akhbar, ketua pegawai eksekutif dan beberapa pemimpin media lain berkumpul untuk persidangan kumpulan media global bermula Isnin.Wan-Irfa mewakili kira-kira 18,000 syarikat penerbitan, 15,000 laman portal dan 3,000 syarikat di lebih 120 negara."Ia adalah penghormatan kepada The Star dan juga Malaysia untuk dipilih menyerta badan media dunia. Malah lebih memuaskan apabila keputusan itu diumumkan ketika sambutan Hari Kebangsaan," kata Wong.Wong yang juga Pengarah Eksekutif The Star berkata kebanyakan kumpulan media termasuk di Malaysia kini lebih berintegrasi dengan surat khabar, televisyen, radio, portal online dan media lain berkaitan perniagaan di syarikat masing-masing.Beliau berkata, kumpulan media di Asia berkembang menjadi lebih berpengaruh ketika perhatian dunia beralih ke Asia di mana ekonominya menunjukkan pretasi baik.Wong merupakan Pengerusi Asia News Network (ANN), gabungan akhbar paling aktif di dunia yang dianggotai oleh 21 organisasi media berita termasuk China Daily, The Jakarta Post dan The Nation (Thailand).Antara tujuh yang turut dilantik sebagai ahli lembaga baru adalah Patrick Daniel, Ketua Pengarang akhbar Inggeris dan Melayu Singapore Press Holding, Sanjay Gupta, Ketua Akhbar Harian Bahasa Hindi Dainik Jargan dan Kylie Davies, wanita berpengaruh dalam media di Australia.Wong berharap untuk membawa ANN bekerjasama dengan Wan-Ifra dalam projek-projek serantau dan global yang akan memberi manfaat kepada industri.ANN mengadakan mesyuarat ketua pegawai eksekutif pertamanya dan mereka yang terlibat dalam media baru dan pengiklanan di Kuala Lumpur baru-baru ini.