suria

Anwar Bukan Tetamu Kehormat Ambang Merdeka - MB Selangor

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor menyifatkan isu kontroversi sambutan ambang merdeka peringkat negeri itu selesai apabila Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjelaskan kehadiran Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada majlis berkenaan hanya sebagai 'tetamu jemputan' dan bukannya 'tetamu kehormat'.

Sebaliknya Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri masih mengekalkan tradisi terdahulu apabila tetamu kehormat pada majlis yang diadakan di Dataran Kemerdekaan itu adalah beliau sendiri sebagai Menteri Besar.

Sambil terus mempertahankan kehadiran Anwar, Abdul Khalid berkata Penasihat Ekonomi Selangor itu hanya berperanan untuk berucap pada majlis berkenaan.

"Datuk Seri Anwar hanyalah penceramah jemputan yang utama untuk berucap pada majlis itu.

"Tetamu kehormat masih Menteri Besar seperti tahun-tahun sebelumnya," katanya pada sidang media di Bangunan SUK di sini, Rabu.

Sebelum ini kerajaan negeri dikecam kerana didakwa membelakangkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada majlis sambutan Hari Kemerdekaan peringkat negeri.

Mengulas lanjut Abdul Khalid bagaimanapun berkata, kerajaan negeri menjemput Sultan Selangor bagi menghadiri majlis bacaan yasin, tahlil dan doa selamat sempena sambutan bulan kemerdekaan pada setiap tahun termasuk pada tahun ini.

Ditanya sama ada beliau akan menghadap Sultan Selangor bagi menjelaskan mengenai perkara berkenaan, Abdul Khalid berkata: "Belum menghadap, tapi esok saya akan hadiri majlis bersama tuanku."

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain