suria

500,000 Ahli Umno Belum Daftar Sebagai Pengundi

KOTA TINGGI: Kira-kira 500,000 ahli Umno masih belum mendaftar sebagai pengundi, kata Naib Presiden parti Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata, adalah penting bagi setiap Umno bahagian untuk mengenal pasti ahli-ahli tersebut dan mendaftarkan mereka sebelum pilihan raya umum akan datang.

"Sebelum ini, kita mempunyai 600,000 ahli yang belum mendaftar sebagai pengundi tetapi sejak dari itu kebanyakan mereka berjaya didaftarkan," katanya selepas mesyuarat dengan ahli Umno bahagian Pengerang di Desaru, dekat sini, Jumaat.

Mohd Shafie, yang mempengerusikan biro pendaftaran pengundi parti itu berkata, pilihan raya akan datang akan menjadi 'pilihan raya nombor'.

"Kita juga mengemaskini sistem memandangkan kebanyakan ahli tidak berdaftar telah meninggal dunia atau berpindah ke tempat lain. Malah terdapat pertindihan pendaftaran dengan parti," katanya.

Mohd Shafie, yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, mengharapkan lebih banyak peruntukan diberikan kepada kementerian itu apabila Belanjawan 2013 dibentangkan di Parlimen pada 28 September ini.

"Masih adalah beberapa jalan raya di kawasan luar bandar menuju ke kampung dan penempatan orang asli perlu diperbaiki," katanya.

Mengulas mengenai pelaksanaan projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) di sini, Mohd Shafie berkata, kementerian itu sedang meneliti keperluan penduduk-penduduk di kawasan tersebut yang terjejas.

"Kita akan bekerjasama dengan jabatan dan kementerian berkaitan untuk memastikan penduduk mendapat manfaat daripada projek tersebut," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain