SEPANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menahan seorang wanita Nigeria yang cuba membawa masuk 2.9 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM725,000.Pengarahnya, Badaruddin Mohamed Rafik berkata, suspek ditahan Ahad lepas ketika melalui kawalan kastam, sejurus tiba dari Mesir pada pukul 8.20 malam setelah imbasan pada bagasinya menunjukkan imej meragukan. "Pemeriksaan 100 peratus oleh Bahagian Penguatkuasaan KLIA menemui satu ruangan di bahagian bawah beg yang dibawa di mana tersorok dadah dalam ruangan itu," katanya pada sidang akhbar, di sini Jumaat.Katanya, siasatan mendapati suspek berusia 28 tahun itu memasuki negara ini untuk kali ketiga dan dia kini direman 14 hari bagi siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya yang mengenakan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan.Badaruddin berkata, kes itu adalah enam cubaan warga asing menyeludup masuk dadah di KLIA untuk tempoh 29 Jun hingga 2 September tahun ini, melibatkan rampasan dadah seberat 14.187 kg bernilai RM3.546 juta.Katanya, dua daripada kes itu melibatkan dua lelaki warga Nigeria yang ditahan pada 29 Jun dan 4 Julai lepas, setelah didapati menelan dadah jenis syabu masing-masing seberat 1.296 kg dan 1.581 kg bernilai RM719,250 bagi tujuan penyeludupan.Kes lain membabitkan wanita dari benua Afrika yang menyembunyikan syabu dalam bagasi bagi tempoh 21 Julai hingga 2 September, dengan rampasan seberat 11.31 kg bernilai RM2.82 juta."Kita perhatikan keempat-empat kes ini melibatkan wanita. Berkemungkinan sindiket menukar modus operandi dengan menggunakan wanita pula untuk membawa masuk dadah," katanya.Beliau berkata, sejak Januari hingga September tahun ini, Kastam KLIA mencatatkan 41 kes membabitkan 45 suspek cuba menyeludup dadah seberat 154.59 kg bernilai RM26.63 juta.Katanya, 32 tangkapan dilakukan di KLIA, enam di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) dan tiga lagi di Kuala Lumpur. - BERNAMA