suria

Ahli Jawatankuasa Di Pusat Daerah Mengundi

BANTING: Semua anggota jawatankuasa yang bertugas di pusat daerah mengundi seluruh negara diingatkan agar membuat persediaan rapi bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-13 yang bakal diadakan pada bila-bila masa, kata Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan.

"Saya nasihatkan janganlah asyik kita nak berteka-teki bila tarikh pilihan raya, biarlah kebijaksanaan Perdana Menteri untuk tentukan. Cuma kalau tidak tahun ini, ia akan berlaku tahun depan, itu sahaja.

"Apa yang paling penting sekarang, saya nak tanya adakah pusat mengundi kita telah bersedia sepenuhnya...cukupkah segala kelengkapan termasuk tenaga kerja dan pelaksanaan kempen dalam kita menghadapi pilihan raya?" katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Kuala Langat di sini, Rabu.

Ahmad berkata semua ketua penerangan bahagian perlu melaksanakan tugas dengan berkesan bagi memastikan 7,000 pusat daerah mengundi di seluruh negara 'hidup'.

"Saya mahu persiapan yang cukup...kalau setakat 50 peratus, itu bermakna kita belum bersedia...tetapi kalau 75 peratus itu bermakna kita sudah bersedia pada bila-bila masa untuk menghadapi pilihan raya.

"Oleh itu, saya mahu program penerangan Umno yang menjelaskan berkaitan usaha-usaha kerajaan yang telah dimulakan sejak Ogos lepas, dipergiatkan," katanya.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri turut menyeru agar rakyat terus menolak pembangkang kerana kegagalan mereka menepati janji.

"Mereka ini (pembangkang) terlalu banyak kontroversi dan akhirnya kontroversi itu memakan diri mereka sendiri...ini kerana kontroversi itu telah menjadi peluru kepada Umno untuk menembak mereka semula," katanya.

Artikel Lain