JOHOR BAHRU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan berjaya mematahkan cubaan merampas sebuah kapal dagang yang didalangi enam lelaki warga asing di perairan Tanjung Piai, di sini petang Jumaat.Ketua Penguatkuasa Maritim Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Adon Haji Shalan berkata, dalam kejadian kira-kira 2.15 petang itu, pihaknya menerima maklumat risikan sebuah bot kayu berada dalam keadaan mencurigakan menghimpit sebuah kapal dagang, MT Scorpio. "Hasil maklumat tersebut, kapal APMM yang ketika itu sedang melaksanakan rutin rondaan, bergerak ke lokasi dan semasa cuba merapat mendapati sebuah bot kayu meninggalkan kapal itu dengan tergesa-gesa."Bot berkenaan kemudian memecut menuju ke perairan negara jiran," katanya dalam satu kenyataan di sini Sabtu.Menurut Adon, hasil pemeriksaan ke atas kapal yang didaftar di Tarawa Kiribati itu, pihaknya menemui 12 kru kapal terdiri 10 warga Indonesia, seorang warga China dan seorang warga Sri Lanka berumur antara 20 hingga 56 tahun dalam keadaan tangan dan kaki terikat.Beliau berkata, tiga daripada anggota kru itu mengalami cedera ringan akibat dipukul menggunakan senjata tajam oleh perompak, namun kesemua mereka dalam keadaan selamat."Pemeriksaan lanjut menemui sejumlah enam bilah parang ditinggalkan dan seluruh ruang kapal digeledah dengan barang-barang milik peribadi seperti wang tunai, komputer riba dan telefon bimbit telah dilarikan," katanya.Menurutnya, hasil siasatan yang dilakukan ke atas kru kapal, pihak APMM diberitahu enam perompak memakai penutup muka dipercayai warga asing bersenjatakan sepucuk pistol dan parang telah menaiki dan menawan kapal itu pada tengah malam Khamis.Kumpulan suspek itu dipercayai memiliki rangkaian sindiket yang besar untuk melakukan aktiviti rompakan di perairan Johor dan mensasarkan kapal-kapal dagang yang bersauh.Modus operandi mereka bukan sahaja menjadikan barangan kru kapal sebagai bahan rompakan, malah lebih besar iaitu bertindak menjual minyak kapal kepada kapal-kapal di perairan Johor serta merampas kapal untuk dijual ke negara lain.Adon berkata, ia berdasarkan penemuan sebuah kapal dagang MT Sea Jade di sebelah MT Scorpio yang sedang melakukan pemindahan minyak hasil rompakan tersebut."Ekoran itu, kapten serta 12 kru kapal MT Sea Jade berdaftar di Ulaanbaatar, Mongolia terdiri daripada 10 warga Myanmar dan dua warga Indonesia berumur antara 27 hingga 47 tahun ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat APMM Wilayah Selatan untuk siasatan lanjut dipercayai ada kaitan dengan perompak-perompak tersebut," katanya.Beliau berkata, APMM sentiasa mempertingkatkan penguatkuasaan agar keselamatan pengguna maritim sentiasa terjamin semasa berada di perairan Malaysia. - BERNAMA