suria

Warga Indonesia Mati Terjatuh Dari Bumbung Pangsapuri

MELAKA: Seorang pendatang asing tanpa izin (PATI)dari Jawa Timur maut selepas terjatuh dari tingkat lima Pangsapuri Taman Tasik Utama di sini malam Jumaat, dipercayai cuba melarikan diri sewaktu pemeriksaan Jabatan Imigresen.

Pengarah Jabatan Imigresen Melaka, Kamaluddin Ismail berkata dalam kejadian jam 11.50 malam itu, lelaki berusia 35 tahun tersebut mengalami kecederaan parah di bahagian muka dan patah beberapa anggota badan termasuk tangan dan kaki.

Dia dipercayai tergelongsor dari bumbung pangsapuri yang menjadi tempat dia berpaut.

Mangsa yang merupakan buruh kontrak dan dikenali sebagai Mathoseh berada dalam keadaan kritikal sebelum disahkan meninggal dunia tengah hari tadi di Hospital Melaka.

Kamaluddin berkata pihaknya terpaksa memecah pintu rumah di tingkat tersebut yang dihuni tujuh warga Indonesia, setelah mereka enggan memberi kerjasama.

"Apabila pemeriksaan dilakukan di rumah tersebut, kita dapati kipas terpasang dan salah satu silingnya terbuka di mana kesemua mereka didapati cuba melarikan diri," katanya kepada pemberita selepas tamat Operasi Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja Asing dan PATI (Program 6P) di sini, Sabtu.

Beliau berkata lima lagi PATI iaitu seorang lelaki dan empat wanita sempat diselamatkan angggota dan pegawainya yang menjejaki mereka di atas bumbung sementara mangsa yang cuba menyembunyikan diri dengan berpaut pada bumbung tersebut tiba-tiba terjatuh.

Katanya hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

Kamaludin berkata secara keseluruhan dalam operasi tersebut, pihaknya memeriksa 50 warga asing dan menahan 32 orang PATI terdiri daripada 14 wanita warga China, lima wanita Indonesia, empat lelaki Indonesia, lima lelaki Thailand, seorang wanita Thailand, sorang lelaki Mynmar dan sepasang suami isteri warga Kemboja.

Beliau berkata kesemua mereka yang berusia antara 18 hingga 47 tahun itu ditahan di tiga lokasi berbeza di Pangsapuri Taman Tasik Utama, sebuah pusat hiburan di Melaka Raya dan sebuah rumah di Paya Rumput, yang melibatkan 25 anggota Imigresen bersama dua Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam operasi lebih empat jam bermula 11 malam.

Katanya siasatan awal mendapati kesemua yang ditahan dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39 (b) Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas, permit atau pas sempadan, Seksyen 6(1)(c) akta sama kerana masuk dan tinggal di negara ini tanpa pas atau permit sah dan Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih masa. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain