KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan sindiket dadah antarabangsa dengan menahan tujuh lelaki warga Iran dan dua lelaki tempatan serta merampas dadah bernilai kira-kira RM11 juta dalam serbuan di beberapa rumah sewa di sekitar Lembah Klang dan Shah Alam, Selangor pada Jumaat lepas dan Ahad.Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, warga asing terbabit didapati menjadikan rumah sewa mereka itu sebagai tempat memproses dadah. Katanya, serbuan itu dilakukan selepas polis menahan seorang daripada anggota sindiket berkenaan yang sedang memandu kereta jenis Mercedes Benz kira-kira 7.45 malam di Mont Kiara dan merampas dua bungkusan plastik mengandungi syabu seberat 2.2 kilogram.Susulan itu, polis menyerbu dua unit kondominium yang disewa sindiket itu di Jalan Ampang dan Petaling Jaya dan menahan tiga lagi anggota sindiket bersama-sama 550 gram serbuk dan 785 gram cecair syabu, katanya pada sidang akhbar di sini Isnin."Serbuan ke atas kondominium itu, yang dipercayai dijadikan makmal memproses dadah jenis syabu sebelum dipasarkan turut membawa kepada penemuan bahan kimia seperti cecair teluene, acetone, asid hidroklorik, methahol dan serbuk red phosporus."Selain itu beberapa peralatan dapur seperti penuras, alat penimbang, botol dan bekas plastik yang disyaki digunakan untuk tujuan memproses dadah juga turut dirampas," katanya.Noor Rashid berkata, sementara tiga lagi anggota sindiket itu ditahan di beberapa lokasi di sekitar Lembah Klang dan siasatan menunjukkan mereka menjadikan rumah-rumah yang disewa sebagai tempat menyimpan bahan mentah dan peralatan yang digunakan untuk memproses syabu sebelum dijual kepada pelanggan.Beliau berkata, dua hari kemudian, polis menahan dua lelaki warga tempatan yang sedang menuju ke Rawang, Selangor dari Kuala Lumpur menaiki dua buah kereta dan merampas 8,000 biji pil Eramin 5 yang disorokkan di dalam sebuah guni berisi makanan ikan.Siasatan ke atas lelaki tersebut membawa polis ke sebuah rumah di Seksyen 25, Shah Alam, Selangor dan merampas 520,000 biji pil Eramin 5 yang ditemui tersorok di dalam 65 buah guni berisi bijirin makanan ikan, katanya."Guni-guni berisi makanan ikan yang mengandungi pil Eramin 5 tersebut dipercayai telah diseludup masuk dari luar negara oleh sindiket antarabangsa itu untuk pasaran tempatan," katanya.Noor Rashid berkata, nilai keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan RM11 juta.Katanya, selain rampasan dadah, polis turut menyita beberapa barangan milik anggota sindiket antaranya tiga buah kenderaan jenis Mercedes SLK 350, Nissan Sylphy dan Hyundai Getz, tiga buah komputer riba, tiga bentuk cincin, wang tunai RM1,072, beberapa mata wang Iran serta lapan buah telefon bimbit.Suspek berumur antara 24 hingga 55 tahun itu kini ditahan reman sehingga Jumaat depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan, katanya. - BERNAMA