suria

Anggota Tentera Antara Dua Maut Dalam Kemalangan

KUANTAN: Seorang anggota tentera antara dua yang dilaporkan maut dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta di Km95, Jalan Bentong-Raub malam Rabu.

Anggota tentera itu dikenali sebagai Mohd Ramdan Mohd Idris, 25, yang bertugas di Kem Mempaga, Bentong, manakala seorang lagi mangsa ialah Noorazila Amira Radzuan, 23, dari Lebu Baru, Bentong.

Sementara suami Noorazila Amira, Jefari Kusairi, 27, parah dalam kemalangan pada pukul 9.50 malam itu.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Superitendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, ketika kemalangan, kereta Proton Wira yang dipandu Mohd Ramdan dipercayai dalam perjalanan dari arah Bentong menuju Raub.

"Dipercayai Mohd Ramdan hilang kawalan lalu keretanya masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Proton Persona yang dinaiki Noorazila dan suaminya.

"Akibat pertembungan itu, anggota tentera terbabit yang parah di kepala mati di lokasi kejadian sementara pasangan suami isteri berkenaan dikejarkan ke Hospital Bentong.

"Bagaimanapun Noorazila disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan sejurus sampai di hospital manakala suaminya yang cedera parah di kepala dan badan kini dirawat di hospital yang sama," kata Mohamed Fauzi. - BERNAMA

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan