suria

APMM Tahan Bot Bawa Burung Murai Batu Di Pengerang

JOHOR BAHARU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah bot yang membawa 150 ekor burung murai batu di Perairan Teluk Ramunia, Pengerang dekat Kota Tinggi, pada Rabu.

Pengarah Operasi Maritim Wilayah Selatan Kapten Maritim Ibrahim Mohamed berkata bot gentian yang dipandu seorang lelaki berumur 40-an itu dikesan bot ronda APMM yang melakukan rondaan di perairan berkenaan, kira-kira pukul 11.15 pagi.

"Bot itu pada mulanya memecut laju apabila cuba ditahan anggota APMM. Bagaimanapun, anggota APMM yang mengejar bot itu kira-kira 10 minit berjaya menahannya di kedudukan 1.5 batu nautika tenggara Teluk Ramunia," katanya dalam satu kenyataan, di sini, Khamis.

Ibrahim berkata pemeriksaan pada bot berkenaan menemui 16 raga yang berisi 150 ekor burung tersebut dan lelaki terbabit mendakwa diarahkan membawa burung itu dari Pasir Gudang ke Pengerang.

Beliau berkata anggota APMM tidak menemui sebarang dokumen bagi membawa kesemua burung yang dianggarkan bernilai RM300 hingga RM600 seekor mengikut saiz itu dan lelaki terbabit bersama burung berkenaan kini diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.

"Burung murai batu adalah sejenis burung yang dilindungi. Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 60 (1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 kerana menyimpan mana-mana hidupan liar yang dilindungi tanpa lesen," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan