KUALA LUMPUR: Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) pada rAbu menganugerahkan tiga pakej stesen MRT bernilai RM732.2 juta bagi projek MRT Sungai Buloh-Kajang.Pemberian itu dibuat susulan mesyuarat Jawatankuasa Pemerolehan Sehenti di Putrajaya yang dipengerusikan oleh Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, kata syarikat itu dalam satu kenyataan. Naim Engineering Sdn Bhd dianugerahkan Pakej S2 bagi pembinaan dan penyiapan stesen bertingkat dan kerja-kerja berkaitan lain di Taman Industri Sungai Buloh, PJU 5 dan Kota Damansara.Kontrak bagi pakej ini bernilai RM204.7 juta."Pemberian pakej ini adalah bidaan dinilai terbaik daripada kumpulan yang telah disenarai pendek sebelumnya. Dengan tiga lagi pakej stesen diberikan, saya gembira untuk menyatakan bahawa projek MRT sedang berjalan dengan lancar," kata Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Datuk Azhar Abdul Hamid.Naim Engineering juga merupakan pembida yang berjaya bagi Pakej S4 untuk pembinaan dan penyiapan stesen bertingkat dan kerja-kerja berkaitan lain di Seksyen 16 di Pusat Bandar Damansara dan Semantan.Kontrak bernilai RM208 juta itu diberikan pada 26 Julai.UEM Construction Sdn Bhd pula menerima Pakej S3 bernilai RM275.8 juta bagi pembinaan dan penyiapan stesen bertingkat di The Curve, One Utama dan Dataran Sunway dan kerja-kerja berkaitan lain.Syarikat itu juga diberikan Pakej V8 bagi pembinaan dan penyiapan jejambat transit dan kerja-kerja berkaitan lain dari Taman Mesra ke Stesen Kajang. Kontrak bernilai RM951 juta itu diberikan pada 26 September.Sementara itu, Pakej S8 bernilai RM251.7 juta bagi pembinaan dan penyiapan stesen bertingkat di Saujana Impian, Bandar Kajang dan Kajang dan kerja-kerja berkaitan lain telah diberikan kepada Apex Communication Sdn Bhd.Terdahulu Apex Communication diberikan Pakej S7 bagi pembinaan dan penyiapan stesen di Balakong dan Taman Koperasi. Kontrak bernilai RM104.7 juta itu diberikan pada 28 Ogos.Ketiga-tiga pakej itu dibuka kepada 12 syarikat Bumiputera yang sebelumnya telah pralayak bagi tender itu.Setakat ini, 48 daripada 85 jumlah pakej tender bagi projek MRT telah diberikan. -BERNAMA