suria

Wakil Rakyat Pembangkang Dibidas Kelirukan Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR: Beberapa wakil rakyat pembangkang dibidas ekoran secara berterusan mengkritik kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Malah Datuk Halimah Sadique (BN-Tenggara) ketika membahaskan Bajet 2013 turut menempelak Zuraida Kamaruddin (PKR-Ampang) yang dengan sengaja mengelirukan Dewan Rakyat apabila mendakwa Perdana Menteri mengabaikan kebajikan wanita.

"Baca dulu dengan betul, Perdana Menteri sebut peruntukan RM25 juta itu bukan kepada 1,000 wanita sahaja, tapi sebenarnya kepada 100,000 wanita untuk pemeriksaan mamogram percuma.

"Saya nak nasihatkan Ampang (Zuraida) supaya baca dan faham terlebih dahulu, jangan cetak dan ambil beberapa bahagian sahaja dan tak faham," katanya.

Menerusi pembentangan Bajet 2013, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM25 juta untuk kemudahan pemeriksaan percuma ujian mamogram yang dijangka dapat dimanfaatkan oleh seramai 100,000 wanita berumur 40 tahun ke atas.

Selain itu Halimah dengan tegas menolak dakwaan Zuraida dan Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang) bahawa Najib gagal memainkan peranannya sebagai menteri yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal dan kebajikan wanita.

"Saya nak tanya Ampang (Zuraida) dan Rantau Panjang (Siti Zailah) mengenai kedudukan Perdana Menteri sebagai menteri wanita. Apa yang nak dibimbangkan sangat?

"Beliau adalah Perdana Menteri, sepatutnya kita rasa gembira kerana beliau sendiri mengambil berat mengenai kebajikan wanita," katanya.

Menurut Halimah lagi, kedudukan Najib sebagai Perdana Menteri dan menteri KPWKM membolehkan beliau melihat dengan menyeluruh keperluan dan kebajikan wanita.

"Dalam kedudukannya sebagai Perdana Menteri, beliau kena faham apa yang diperlukan wanita.

"Beliau kena tengok adakah selama ini dasar dan akta sedia ada yang diperuntukan oleh kerajaan telah berjaya merubah mesej wanita ataupun tidak," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

481,424 Calon Duduki PMR Esok

Artikel Lain