suria

50,000 Veteran Umno P. Pinang Bantu BN Pada PRU13

BUKIT MERTAJAM: Veteran Umno Pulau Pinang akan menggerakkan lebih 50,000 anggotanya bagi membantu Barisan Nasional (BN) di negeri ini pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) nanti.

Timbalan Pengerusinya Datuk Ismail Din berkata usaha itu bagi memastikan B Nmerampas kembali Pulau Pinang daripada pakatan pembangkang yang diterajui Ketua Menteri Lim Guan Eng. "Veteran Umno adalah seperti duta kecil kepada Umno dan BN kerana kami akan berkempen dari rumah kami sendiri supaya menyokong BN. "Kami bekerja secara sukarela dan tekad kami hanya untuk membantu BN agar terus memerintah negara," katanya kepada pemberita selepas persidangan tahunan Veteran Umno Bahagian Permatang Pauh di sini, Sabtu.

Majlis itu dirasmikan oleh Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh Datuk Abdul Jalil Abdul Hamid dan kira-kira 100 veteran Umno bahagian itu menghadiri persidangan berkenaan.

Ismail berkata anggota Umno tidak perlu bimbang kerana kewujudan anggota veteran adalah untuk membantu parti dan BN dan bukan merebut jawatan dalam parti itu. "Umno di Pulau Pinang ada lebih 200,000 anggota di 13 bahagian dan kehadiran kami untuk membantu parti pada PRU-13 nanti bukan untuk merebut jawatan," katanya.

Sementara itu, Abdul Jalil berkata pihaknya menyambut baik penubuhan veteran Umno di Permatang Pauh kerana ia dapat membantu jentera parti.

Katanya ini kerana kebanyakan mereka boleh bertugas sepenuh masa berbanding anggota lain yang mempunyai komitmen kerja. "Sumbangan mereka memang besar kepada parti dan saya percaya kematangan mereka dalam berpolitik dapat membantu Umno terutama di Permatang Pauh," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain