suria

Wanita Warga Nigeria Ditahan Cuba Seludup Dadah Guna Tubuh Badan

KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga Nigeria ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam selepas dikesan cuba menyeludup dadah jenis syabu dalam tubuhnya.

Dalam kejadian 7.45 malam itu, beberapa pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman menerima maklumat berhubung suspek wanita berusia 30 tahun yang baru tiba dengan penerbangan dari Kaherah, Mesir dan berada dalam keadaan mencurigakan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata hasil pemeriksaan imbasan badan di pos pemeriksaan kastam dan polis KLIA, polis menemui puluhan ketulan plastik yang mencurigakan dalam tubuh suspek sebelum polis bertindak menahan suspek dan mengarahkannya membuang air besar.

"Pihak polis telah mengarahkan suspek untuk membuang air besar sebanyak tiga kali untuk ujian saringan dan hasilnya sebanyak 24 ketulan dadah jenis syabu berjaya ditemui, yang dipercayai cuba diseludup dari negara Timur Tengah ke negara ini untuk pasaran tempatan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Noor Rashid berkata polis kemudian membawa wanita itu ke Hospital Serdang untuk ujian selanjutnya dan percaya masih terdapat saki-baki dadah yang belum dikeluarkan dari tubuh suspek.

"Siasatan awal yang kita jalankan mendapati wanita itu tidak mengambil sebarang makanan dan minuman selepas dipercayai menelan kesemua bekalan dadah sewaktu berada di Mesir sehingga mengharungi perjalanan selama lebih 10 jam," katanya.

Beliau berkata polis percaya wanita itu cuba menyerahkan bekalan dadah yang diseludup kepada rangkaian sindiket dadah warga Timur Tengah di sini bagi tujuan pasaran tempatan.

Noor Rashid berkata sehingga kini, polis melakukan soal siasat ke atas wanita itu bagi mengesan sindiket dadah yang menjadikan suspek sebagai umpan membawa dadah ke Malaysia.

Katanya, polis menganggarkan dadah yang berjaya dikeluarkan seberat 500 gram dan suspek wanita itu kini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain