suria

Aliran Trafik Di Lebuh Raya Utama Bergerak Perlahan

KUALA LUMPUR: Keadaan trafik di lebuh raya utama negara malam Ahad dilaporkan bergerak perlahan ekoran orang ramai mula pulang ke ibu kota untuk kembali bertugas pada Isnin.

Laman Twitter PLUS Expressways Bhd melaporkan bahawa trafik bergerak perlahan dari Sungai Petani ke Bertam, sebelum dan selepas Plaza Tol Juru ke Bukit Tambun serta dari arah Taiping ke Changkat Jering dan Kuala Kangsar menuju ke terowong Menora.

Laman tersebut juga melaporkan terdapat lori rosak di lorong kecemasan KM434.7 arah selatan dari Bukit Beruntung ke Rawang dan telah dialihkan namun trafik masih perlahan.

Laman Twitter Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) pula melaporkan kemalangan di KM87.9 arah selatan Gurun ke Sungai Petani dan tiada penutupan lorong namun trafik bergerak perlahan.

Laman Twitter LLM turut melaporkan bahawa aliran trafik masih perlahan dari Tangkak ke Ayer Keroh, Simpang Ampat ke Pedas Linggi dan Senawang ke Nilai.

Sementara itu, di lebuh raya KL-Karak keadaan trafik sesak dari Genting Highlands ke Plaza Tol Gombak dan bagi Lebuhraya Pantai Timur (LPT) aliran trafik di sekitar Plaza Tol Kuantan semakin lancar.

Plus menasihati pengguna lebuh raya agar merujuk jadual cadangan waktu perjalanan PLUS (TTA) sempena sambutan Hari Raya Aidiladha 2012 bagi mengelakkan berlaku kesesakan yang teruk menuju ke ibu kota. BERNAMA

Artikel Lain