KUALA LUMPUR: Seorang bayi perempuan berusia tiga bulan meninggal dunia dipercayai akibat tersedak susu di sebuah pusat jagaan di Jalan Duta di sini, Jumaat.Dalila Haifa Dafrizal Shah disahkan meninggal dunia sejurus tiba di Hospital Tawakal, Jalan Pahang untuk mendapatkan rawatan. Difahamkan dalam kejadian kira-kira 5 petang tadi, bayi itu ditemui dalam keadaan muka kebiruan dan tidak bergerak oleh ibunya yang datang menjemput dua anaknya dari pusat tersebut.Rakan sekerja bapa mangsa, Anuar Riza, 28, ketika ditemui di hospital itu berkata bimbang dengan keadaan anaknya, wanita itu menghubungi suaminya dan bergegas membawa mangsa ke hospital sambil memberi bantuan pernafasan ketika dalam perjalanan.Usaha mendapatkan maklumat lanjut mengenai kejadian itu daripada ibu bapa bayi berkenaan dan anggota keluarga lain tidak berhasil kerana mereka enggan di temu bual.Difahamkan jenazah Dalila Haifa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU3 Keramat esok dan laporan polis telah dibuat di Balai Polis Sentul mengenai kejadian itu. -BERNAMA