KUALA LUMPUR: Cuaca cerah di kebanyakan tempat pada sebelah pagi memudahkan perjalanan 472,541 calon Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) untuk ke dewan peperiksaan di seluruh negara bagi menghadapi hari pertama peperiksaan itu.Seramai 24,963 calon SPM di Kuala Lumpur menduduki peperiksaan itu di 218 buah pusat peperiksaan termasuk 32 buah pusat peperiksaan persendirian dalam keadaan cuaca cerah pada sebelah pagi. Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan akan berlaku hujan dan ribut petir di hampir keseluruhan kawasan di ibu negara pada sebelah petang."Cuaca yang sama dijangka berterusan di Lembah Klang sehingga Ahad ini," kata jurucakap Jabatan Meteorologi ketika dihubungi Bernama hari ini.Ketua Penolong Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ahmad Kamil Ibrahim berkata, seramai tujuh calon peperiksaan SPM di sini menduduki peperiksaan di hospital kerana masalah kesihatan akibat kemalangan, jangkitan paru-paru dan masalah tulang belakang.Mereka mengambil peperiksaan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), Pusat Perubatan Pantai Bangsar, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Hospital Rehabilitasi Cheras, Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Wangsa Maju dan Hospital Selayang, katanya ketika dihubungi.Beliau berkata, seramai 81 calon Orang Kurang Upaya (OKU) yang pekak, rabun, buta, terencat akal dan lain-lain kecacatan turut menduduki peperiksaan itu di Kuala Lumpur, di sekolah khas, hospital serta sekolah harian biasa dan dikategori sebagai Calon Berkeperluan Khas (CBK).Katanya, mereka yang dikategorikan sebagai calon CBK itu mempunyai Kad Orang Kurang Upaya dan didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebelum menduduki sesuatu peperiksaan.Seramai 472,541 calon mula menduduki peperiksaan SPM di 3,590 pusat peperiksaan di seluruh negara bermula hari ini (Isnin) hingga 6 Disember.Kertas pertama adalah Bahasa Melayu Kertas 1 yang bermula pada 8 pagi hingga 10.15 pagi Isnin, Pendidikan Seni Visual- Teori Seni (Aneka Pilihan) Kertas 1 (11 pagi hingga 12.15 tengah hari) dan Bahasa Melayu Kertas 2 (2 petang hingga 4.3-0 petang).