suria

Zaid Letak Jawatan Presiden Kita, Tetapi Dakwa Masih Kawal Parti

PETALING JAYA: Datuk Zaid Ibrahim telah meletakkan jawatan sebagai Presiden Kita tetapi mendakwa beliau masih mengawal parti itu.

Setiausaha parti, Masrum Dayat, yang mengambil alih jawatan presiden itu berkata, Zaid telah menyerahkan surat peletakan jawatannya pada Sabtu.

“Bagaimanapun, beliau masih seorang ahli jawatankuasa pusat dan ahli biasa Kita,” katanya, sambil menambah bahawa Zaid menyatakan masalah kesihatan sebagai punca peletakan jawatannya.

Masrum mengambil alih jawatan itu yang berkuat kuasa serta-merta.

Zaid, ketika ditanya mengenai peletakan jawatan itu, beliau menjawab menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menyatakan “Ya”.

Beliau, bagaimanapun menambah bahawa parti itu masih “di bawah kawalan saya”.

Apabila ditanya di bawah kapasiti apakah beliau akan kekal dalam mengawal parti, Zaid berkata: “Jawatan tidak sepenting seperti pengaruh.”

Dilaporkan bahawa Zaid difahamkan mengalami sakit daripada penyakit jantung, yang menyebabkan beliau kurang sihat sejak kebelakangan ini.

Menerusi kenyataan yang terakhir di blognya pada 24 Oktober, Zaid berkata: “Atas nasihat doktor saya, saya perlu mengelakkan aktiviti yang memberi tekanan untuk beberapa bulan.”

Beliau turut berkata, peletakan jawatannya sebagai Presiden Kita akan memudahkan beliau bertanding di bawah kepimpinan Pakatan Rakyat, sebaik-baiknya menentang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Pekan.

Bagaimanapun, Zaid berkata, beliau akan mempertimbangkan mengenai perkara itu sekiranya Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memilih untuk tidak bertanding pada kerusi Parlimen itu.

Baru-baru ini, Abdul Hadi dilaporkan berkata bahawa beliau akan bertanding di mana-mana yang diminta oleh parti, walaupun Pekan.

Artikel Lain