suria

Bekalan Elektrik Di Sarawak Pulih Selepas 15 Jam Terputus

KUCHING: Bekalan tenaga elektrik di bandar raya ini serta bahagian barat Sarawak pulih sepenuhnya pada 9.52 pagi hari ini selepas terputus lebih 15 jam sejak pukul 7 petang Ahad.

Sarawak Energy Berhad (SEB) dalam kenyataan hari ini, berkata gangguan berlaku apabila talian penghantaran di Engkili-Mambong terpelantik tanpa diduga pada pukul 7 petang Ahad.

Masalah berjaya diatasi pada pukul 9.33 pagi Isnin dan bekalan elektrik pulih sepenuhnya 20 minit kemudian, kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, pasukan jurutera SEB yang digegas ke lokasi semalam untuk menangani masalah tersebut tidak dapat memasuki kawasan berkenaan kerana keadaan yang gelap.

SEB sedang menyiasat punca kejadian, kata kenyataan itu.

Sementara itu, tinjauan Bernama di sekitar bandar raya ini mendapati bekalan elektrik kembali seperti biasa menjelang pukul 10 pagi Isnin.

Sesetengah penduduk yang ditemui pula menyifatkan gangguan itu adalah paling lama pernah dialami mereka setakat ini. -BERNAMA

Artikel Lain