SANDAKAN: Pergerakan Wanita Umno mahu penubuhan taman asuhan kanak-kanak (taska) di semua kementerian dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dijadikan peraturan.Ketuanya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata ini kerana inisiatif yang diberi kerajaan bagi menubuhkan taska masih tidak mencukupi dan masih banyak kementerian dan GLC belum menubuhkannya. "Kami berharap Kementerian Kewangan memantau penubuhan taska di semua kementerian dan GLC sebagai satu peraturan yang perlu dipatuhi," katanya kepada pemberita selepas melawat rumah seorang warga emas menerusi program Skuad Sayang, di sini, Isnin.Menurutnya bagi GLC, mereka tidak harus menjadikan alasan langkah itu tidak membawa untung sebagai faktor tidak mewujudkan taska di syarikat masing-masing.Shahrizat juga meminta Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa memberi perhatian terhadap isu tersebut.Beliau berkata wanita pada hari ini berperanan sebagai penyumbang utama kepada pendapatan keluarga."Bagi mengelakkan wanita berundur daripada alam pekerjaan, penubuhan taska adalah salah satu jalan penyelesaian bagi memastikan negara tidak menampung kerugian besar ekoran kehilangan tenaga wanita," katanya.Terdahulu melalui program itu, beliau bersama rombongan Wanita Umno Sabah menyampaikan sumbangan berupa makanan dan wang tunai kepada seorang warga emas Lee Kon Song, 73, di rumahnya di sini.Akibat kemalangan 20 tahun lepas, tangan kanan Lee tidak berfungsi manakala isterinya Hin Yan Kyun, 70, pula tidak mampu untuk berjalan. -BERNAMA