suria

Hadi Perlu Jadi PM Tanpa Ihsan Sekutu - Muslimat PAS

KOTA BARU: PAS perlu menjadi parti yang memenangi majoriti kerusi Parlimen di kalangan pakatan pembangkang sekiranya mahu presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang diangkat sebagai perdana menteri.

Wakil Dewan Muslimat, Aiman Athirah Al Jundi berkata, langkah berkenaan adalah penting bagi memastikan Abdul Hadi boleh diangkat sebagai pemimpin nombor satu negara tanpa perlu mendapat ihsan daripada rakan sekutu yang lain seperti DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Apabila kita mahu presiden kita diangkat menjadi perdana menteri, maka wajib kita berusaha sehabis mungkin untuk memastikan semua kerusi Parlimen yang ditandingi pada pilihan raya akan datang kita menang.

"Justeru berilah muka...agar kelak mereka memimpin negara dengan kekuatan jentera kita, bukan dengan ihsan dan belas kasihan rakan-rakan Pakatan (Rakyat)," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Muktamar Tahunan PAS ke-58 di sini, Ahad.

Sementara itu Naib Ketua Dewan Ulama, Datuk Dr Mahfooz Mohamed turut menyuarakan gesaan yang sama agar jentera PAS memastikan parti itu mencapai kemenangan majoriti pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti.

"Kita hidup dalam sistem demokrasi, maka jika PAS menang banyak dalam pilihan raya akan datang, maka yang akan jadi Perdana Menteri sudah pastilah Datuk Seri Presiden (Abdul Hadi).

"Jadi lepas ini jangan ada di kalangan kita yang akan mempromosikan orang lain...yang penting kita kena menang," katanya lagi.

Artikel Lain